Sunday, May 29, 2011

ISTERI-ISTERI NABI MUHAMMAD S.A.W ADALAH AHLUL BAIT



Syiah sama sekali tidak meredhai kedudukan mulia isteri-isteri nabi Muhammad s.a.w.
Mereka akan membesar-besarkan hadith-hadith perselisihan normal antara baginda s.a.w dengan isteri-isteri baginda dan akan menutup sedalam-dalamnya hadith-hadith yang menggambarkan kecintaan baginda kepada mereka. Golongan syiah sama sekali menolak isteri-isteri nabi sebagai ahlul bait. Pernah saya membaca buku yang bertajuk : “Meniti Titian Kebenaran” karya Khair Izzah, yang mana tulisannya sama sekali tidak ada yang positif tentang isteri-isteri Nabi saw bahkan Dia (Khair Izzah) menggunakan hadis-hadis yang berkenaan untuk menempelak dan menolak jauh kedudukan para Isteri Nabi saw sebagai ahlul bait dan apa yang banyak ditulis hanyalah “Ali, Hassan, Hussin, Fatimah”.. inilah satu kefahaman yang taksub dikalangan Syiah.



Istilah Ahl al-Bait (Ahlul Bait) dalam al-Quran

Al-Quran menggunakan 3 kali perkataan Ahl al-Bait dan kesemuanya merujuk kepada ikatan pernikahan dan ikatan nasab.

Dalam surah al-Hud 11: 72-73, isteri nabi Ibrahim dimuliakan dengan gelaran Ahl al-Bait

قَالَتْ يَا وَيْلَتَى أَأَلِدُ وَأَنَا عَجُوزٌ وَهَذَا بَعْلِي شَيْخًا إِنَّ هَذَا لَشَيْءٌ عَجِيبٌ (72) قَالُوا أَتَعْجَبِينَ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ رَحْمَتُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الْبَيْتِ إِنَّهُ حَمِيدٌ مَجِيدٌ (73)


Terjemahan: Isteri (Nabi Ibrahim) berkata: Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak padahal aku sudah tua dan suamiku ini juga sudah tua? Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara yang menghairankan. Malaikat-malaikat itu berkata: Patutkah engkau merasa hairan tentang perkara yang telah ditetapkan oleh Allah? Memanglah rahmat Allah dan berkat-Nya melimpah-limpah kepada kamu, wahai Ahl al-Bait. Sesungguhnya Allah Maha terpuji, lagi Maha Melimpah kebaikan dan kemurahanNya

Dalam surah al-Qasas 28:12-13, ibu Musa a.s dipanggil sebagai Ahl al-Bait

وَحَرَّمْنَا عَلَيْهِ الْمَرَاضِعَ مِنْ قَبْلُ فَقَالَتْ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى أَهْلِ بَيْتٍ يَكْفُلُونَهُ لَكُمْ وَهُمْ لَهُ نَاصِحُونَ (12) فَرَدَدْنَاهُ إِلَى أُمِّهِ كَيْ تَقَرَّ عَيْنُهَا وَلَا تَحْزَنَ وَلِتَعْلَمَ أَنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ (13)

Terjemahan: dan Kami cegah Musa dari menyusu kepada perempuan-perempuan yang mau menyusui(nya) sebelum itu; maka berkatalah saudara Musa: "Maukah kamu aku tunjukkan kepadamu ahlul bait yang akan memeliharanya untukmu dan mereka dapat berlaku baik kepadanya?." Maka kami kembalikan Musa kepada ibunya, supaya senang hatinya dan tidak berduka cita dan supaya ia mengetahui bahwa janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.

Kali ketiga al-Quran menggunakan istilah ini secara terang-terangan merujuk kepada isteri nabi Muhammad s.a.w

Al-Ahzab ayat 33 menukilkan perkara ini dengan jelas

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى وَأَقِمْنَ الصَّلَاةَ وَآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا (33)


Terjemahan: dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu dan dirikanlah shalat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.
Syiah mempunyai beberapa alasan untuk menolak surah al-Ahzab ayat 33 merujuk kepada isteri-isteri nabi. InsyaAllah, dalam artikel yang akan datang akan dijawab satu persatu alasan mereka tersebut


Apapun fikirkanlah dengan logik, jika ayat penyucian ini turun semata-mata kepada Ali r.a, Hasan r.a, Husin r.a dan Fatimah r.a, maka apakah mereka semua diperintahkan jangan berhias dan tetap dalam rumah?? Bagaimana mungkin Ali r.a, Hasan r.a dan Husin r.a menyertai jihad jika diperintahkan duduk dalam rumah??

Konteks ayat ini sangat jelas merujuk kepada isteri-isteri nabi

Hadith-hadith sahih menetapkan isteri-isteri nabi sebagai ahlul bait

Hadith-hadith nabi yang sahih banyak menyebutkan isteri-isteri nabi dipanggil ahlul bait. Ketika perkahwinan Zainab r.a, nabi keluar dan menuju bilik Aisyah r.a sambil mengatakan

فَقَالَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الْبَيْتِ وَرَحْمَةُ اللَّهِ فَقَالَتْ وَعَلَيْكَ السَّلَامُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ كَيْفَ وَجَدْتَ أَهْلَكَ بَارَكَ اللَّهُ لَكَ فَتَقَرَّى حُجَرَ نِسَائِهِ كُلِّهِنَّ يَقُولُ لَهُنَّ كَمَا يَقُولُ لِعَائِشَةَ وَيَقُلْنَ لَهُ كَمَا قَالَتْ عَائِشَةُ

Terjemahan: ‘Assalamu’alaikum ahlul bait wa rahmatullah (salam sejahtera atas kamu, wahai ahlul bait dan semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepadamu). Maka Aisyah menjawab, ‘Wa alaika salam wa rahmatullah (dan semoga kesejahteraan dan rahmat Allah atasmu). ‘Lalu Nabi s.a.w mengunjungi semua isterinya dan berkata kepada mereka seperti yang dikatakan kepada Aisyah, dan merekapun menjawab seperti jawaban Aisyah

Rujukan: Sahih al-Bukhari, Kitab Tafsir al-Quran, Bab La Tadhulu Buyut an-Nabi Illa An Yu’zina Lakum Ilat Ta’am, Hadith no 4419

Hadith lain ialah bacaan selawat yang nabi ajarkan kepada kita


اللهم صل على محمد وعلى أهل بيته وعلى أزواجه وذريته كما صليت على آل إبراهيم إنك حميد مجيد وبارك على محمد وعلى أهل بيته وعلى أزواجه وذريته كما باركت على آل إبراهيم إنك حميد مجيد

Terjemahan: Ya Allah, berilah kebahagiaan kepada Muhammad dan kepada Ahlul baitnya dan kepada isteri-isterinya serta keturunannya sebagaimana Engkau telah memberikan kebahagiaan kepada keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Dan berikanlah barakah kepada Muhammad dan kepada Ahli Baitnya, isteri-isterinya, serta keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberikan barakah kepada keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”

Rujukan: Musnad Ahmad, hadith no 23173. Hadith ini disahihkan Syeikh Syu’aib al-Arnauth

Akan Bersambung dalam Bab "Bantahan syiah terhadap dalil-dalil sunnah"

FIKIR UNTUK ZIKIR
MUHAMAD NAZRIN RUHANI

Rujukan:
http://truthaboutshiism.wordpress.com/2011/02/18/exposing-shiism-shiite-lies-and-deception-wives-as-ahl-al-bayt/

http://titian-sebenar.blogspot.com/2011/05/isteri-isteri-nabi-muhammad-saw-adalah.html

Friday, May 6, 2011

Khalifah Bani Umayyah melaknat Ali di atas mimbar?


Khalifah Bani Umayyah melaknat Ali di atas mimbar?

Cerita ini sebenarnya langsung tidak bertepatan dengan peristiwa yang sebenarnya dan tidak sesuai langsung dengan tabiat dua orang yang bermusuhan. Jika kita rujuk buku-buku sejarah yang dikarang semasa pemerintahan kerajaan Bani Umayyah yang menceritakan tentang perjalanan pemerintahan Bani Umayyah tersebut, kita tidak menemui cerita seumpama ini sama sekali, sebaliknya kita hanya dapati cerita seumpama ini di dalam buku-buku sejarah kebelakangan yang ditulis di zaman pemerintahan kerajaan Bani Abbas bertujuan memburukkan nama baik kerajaan Bani Umayyah pada pandangan umum umat Islam.

Pengarang-pengarang buku sejarah kerajaan Bani Abbas menggambarkan kepada golongan Alawiyin, yang penindasan yang dilakukan oleh pemerintahan kerajaan Bani Abbas langsung tidak mencapai tahap yang pernah dilakukan oleh pemerintahan kerajaan Bani Umayyah sebelum itu.



Begitulah ahli-ahli sejarah di zaman kerajaan Bani Abbas menulis tentang kedudukan kerajaan Bani Umayyah. Perkara ini tercatat di dalam buku karangan al-Tabari dan lain-lain ahli sejarah yang hidup di zaman pemerintahan kerajaan Bani Abbas.

Apabila ahli-ahli sejarah selepas mereka muncul, mereka memindahkan sahaja cerita tersebut tanpa sedikitpun membuat penelitian tentang sejauh manakah kebenaran cerita itu, sehinggalah sampai ke zaman yang sedang kita huni sekarang ini. Cerita ini kemudiannya dianalisa dan diberi komentar oleh para orientalis barat dan murid-murid mereka dari kalangan anak-anak orang Islam. Mereka menggamabarkan permusuhan yang berlaku di kalangan sahabat sama tarafnya dengan perselisihan yang berlaku di zaman ini, berdasarkan kepada undang-undang matlamat menghalalkan cara.

Mereka telah membuat komentar terhadap orang-orang Islam terdahulu sama dengan ulasan mereka terhadap orang-orang Islam yang hidup di zaman sekarang. Mereka jahil tentang suasana yang dihuni oleh umat Islam di zaman dahulu dan mereka juga lupa pengaruh agama yang masih wujud dalam perselisihan yang berlaku di kalangan sahabat itu. Mereka juga tidak pernah peduli dengan hukuman-hukuman yang mereka jatuhkan kepada sahabat.

Ini sebenarnya kerana mereka tidak mengkaji peristiwa yang berlaku dengan teliti dan menghalusi. Mereka juga tidak merujuk kepada laporan yang dilaporkan oleh ahli-ahli sejarah dari sudut yang lain. Adalah diakui berlaku perselisihan di kalangan para sahabat, namun perselisihan mereka tidak pernah sampai kepada tahap permusuhan yang disifatkan oleh para orientalis itu iaitu kemuncak kezaliman dan permusuhan.

Sebenarnya tidak pernah ada satu laporan yang benar-benar sahih yang menceritakan tentang Muawiyah melaknat Ali atau pernah melaknatnya satu kali apalagi untuk memburuk-burukkannya, di atas mimbar masjid jauh sekali. [Rujuk Tahzir al-Abqariyy dari syarahan Syekh Khudri Husain, jil. 2, hlm. 198]


Al-Tabari melaporkan Bisyr bin Abi Arta'ah pernah mencaci Ali di sisi Muawiyah- pada masa itu Zaid bin Umar bin al-Khattab sedang duduk di situ- lantas Zaid menghayunkan rotannya ke atas belakang Bisyr dan menyebabkan ia mengalami luka-luka akibat pukulan rotan itu. Ujar Muawiyah kepada Zaid: "Begitu sekali anda berani bertindak ke atas seorang tua berbangsa Quraisyh yang menjadi ketua kepada masyarakat Syam dan tanpa segan silu anda memukulnya"?

Seterusnya Muawiyah berpaling kepada Bisyr seraya berkata: "Begitu berani anda mencaci Ali dikhayalak ramai? Tidakkah anda ketahui Ali adalah seorang yang sabar menghadapi karenah masyarakat? Setelah itu Muawiyah menyuruh kedua orang itu berbaik-baik semula". [al-Kamil, jil. 3, hlm. 362, al-Tabari, jil. 5, hlm. 335]

Begitulah sikap Muawiyah. Beliau tidak rela kalau ada orang mencaci Ali ra. Kita suka bertanya, kenapa Bani Umayyah mencaci Ali ra? Bukankah mereka telah mencapai kemenangan (memperolehi jawatan khalifah)?

Apa yang patut dikatakan kepada ijmak yang berlaku di kalangan orang-orang Islam yang memutuskan tidak harus melaknat orang Islam, malah tidak harus melaknat batang tubuh tertentu orang yang bukan Islam.

Adakah perkara ini tidak sampai ke pengetahuan Muawiyah dan orang-orang yang datang selepasnya dari kalangan mereka yang meneraju pemerintahan kerajaan Bani Umayyah?

Bagaimana kita hendak mentafsirkan kata-kata pengarang buku al-Aqd al-Farid- yang merupakan seorang yang beraliran Syiah- yang pernah menyatakan Muawiyah pernah memegang tangan al-Hasan bin Ali dalam majlisnya, kemudian berkata kepada orang ramai yang hadir di dalam majlisnya itu: "Ini adalah manusia yang berasal dari bapa, ibu, datuk lelaki dan nenek perempuan yang paling mulia? Jawab mereka semua: Amir al-Mukminin lebih mengetahui tentang kedudukannya." Lantas Muawiyah memegang tangan al-Hasan seraya berkata: "Lelaki ini bapanya ialah Ali bin Abi Talib, dari ibunya Fatimah ra. Datuknya ialah Rasulullah saw, manakala nenek perempuannya ialah Khadijah ra." [al-Aqd al-Farid, jil. 3, hlm. 33]

Sepatutnya yang biasa berlaku ialah perasaan dendam menghantui jiwa pihak yang kalah. Pihak yang kalah ini akan menunggu masa untuk membalas dendam atau menimbulkan suasana tegang dan tidak stabil ke atas orang-orang yang menang, yang merampas hak mereka.

Sehubungan dengan itu, anggapan yang menyatakan pihak yang menang mencaci pihak yang kalah di atas mimbar masjid, pada perkiraan penulis tidak mungkin berlaku, sebaliknya ia lebih berbentuk satu isu yang sengaja direka terhadap kerajaan Bani Umayyah, di zaman Bani Abbas dengan tujuan memburukkan cara layanan kerajaan Bani Umayyah terhadap Ali dan anak-anaknya, supaya golongan Alawiyun mengetahui hanya golongan Bani Abbas sahaja yang masih memulia dan memelihara hubungan kerabat dengan mereka, kerana kerajaan Bani Abbas tidak melakukan penindasan ke atas golongan Alawiyun, sebagaimana yang kononnya dilakukan oleh kerajaan Bani Umayyah terhadap nenek moyang golongan Alawiyun terdahulu.

http://syiahmalaysia.blogspot.com/2011/05/khalifah-bani-umayyah-melaknat-ali-di.html

FIKIR UNTUK ZIKIR
MUHAMAD NAZRIN RUHANI