Saturday, August 7, 2010

Kisah Sebenar Di Sebalik Cerita Sayyidatina Fatimah Dan Tuntutan Tanah Fada'


Kisah Bohong Dan Dongengan Syiah

"Fatimah AH menganggap Tanah Fadak sebagai miliknya yang sah kerana ia telah diberikan oleh Rasul S.A.W ketika baginda S.A.W masih hidup. Tanah Fadak terletak dekat dengan Khaibar dan disitu terdapat kebun kurma. Ia kemudian diserahkan oleh Bani Nadir kepada Rasulullah S.A.W iaitu selepas peristiwa Perang Khaibar pada tahun 7 Hijrah.

Kemudian Rasulullah S.A.W menghadiahkan tanah tersebut kepada Fatimah AH [riwayat dari Abu Sai'd al-Khudri - sila lihat Fada'il Khamsah fi al-Sihah al-Sittah, Jilid 3, hlm.36] iaitu apabila turunnya ayat Qur'an yang bermaksud," Apa sahaja harta rampasan (fa'i) yang diberikan Allah kepada RasulNya yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan orang-orang yang dalam perjalanan supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu terimalah ia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah, dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukumanNya." (59:7).

Fatimah AH menuntut Tanah Fadak dari Abu Bakar tetapi Abu Bakar menolaknya. Fatimah AH lalu menemui Abu Bakar dan terjadilah perdebatan di antara mereka berdua: Al-Jauhari meriwayatkan bahawa ketika sampai berita kepada Fatimah AH bahawa Abu Bakar menolak haknya ke atas Tanah Fadak, maka Fatimah AH dengan disertai para pembantu wanitanya dan para wanita Bani Hasyim pergi menemui Abu Bakar. Fatimah AH berjalan dengan langkah seperti langkah Rasul. Ia lalu memasuki majlis yang dihadiri Abu Bakar, dan penuh dengan kaum Muhajirin dan Ansar. Fatimah membentangkan kain tirai antara dia dan kaum wanita yang menemaninya di satu sisi, dan majlis yang terdiri dari kaum lelaki di sisi yang lain. Ia masuk sambil menangis tersedu, dan seluruh hadirin turut menangis. Maka gemparlah pertemuan itu. Setelah suasana kembali tenang, Fatimah AH pun berbicara: “Saya memulai dengan memuji Allah Yang Patut Dipuji. Segala Puji bagi Allah atas segala nikmatNya, dan terhadap apa yang diberikanNya..." dan setelah mengucapkan khutbahnya yang sungguh indah, ia lalu berkata:

" Fatimah AH:" Apabila anda mati, wahai Abu Bakar, siapakah yang akan menerima warisan anda?" Abu Bakar:" Anakku dan keluargaku." Fatimah AH:" Mengapa maka anda mengambil warisan Rasul yang menjadi hak anak dan keluarga beliau?"
Abu Bakar:" Saya tidak berbuat begitu, wahai putri Rasul."

Fatimah AH:" Tetapi anda mengambil Fadak, hak Rasulullah yang telah beliau berikan kepada saya semasa beliau masih hidup....Apakah anda dengan sengaja meninggalkan Kitabullah dan membelakanginya serta mengabaikan firman Allah yang mengatakan," Sulaiman mewarisi dari Daud " (Al-Naml: 16), dan ketika Allah mengisahkan tentang Zakaria serta firman Allah, Dan keluarga sedarah lebih berhak waris mewarisi menurut Kitabullah?(Al-Ahzab:6) Dan Allah berwasiat, " Bahawa anak lelakimu mendapat warisan seperti dua anak perempuan" (Al-Nisa:11) dan firman Allah," Diwajibkan atas kamu apabila salah seorang daripada kamu akan meninggal dunia, jika ia meninggalkan harta, bahawa ia membuat wasiat bagi kedua orang tua dan keluarganya dengan cara yang baik, itu adalah kewajipan bagi orang-orang yang bertaqwa" (Al-Baqarah: 80).

Apakah Allah mengkhususkan ayat-ayat tersebut kepada anda dan mengecualikan ayahku daripadanya? Apakah anda lebih mengetahui ayat-ayat yang khusus dan umum, lebih daripada ayahku dan anak bapa saudaraku (Ali AS) Apakah anda menganggap bahawa ayahku berlainan agama dariku, dan lantaran itu maka aku tidak berhak menerima warisan?" [Ibn Abil Hadid, Syarh Nahjul Balaghah, Jilid XVI, hlm.249]

Ibn Qutaibah meriwayatkan pertemuan yang mungkin terakhir di antara Fatimah AH dan Abu Bakar seperti berikut: " Umar bin Khattab berkata kepada Abu Bakar:" Marilah kita pergi kepada Fatimah, sesungguhnya kita telah menyakiti hatinya."
Maka keduanya pun pergi ke rumah Fatimah AH, dan Fatimah AH tidak mengizinkan mereka masuk ke dalam rumah. Mereka lalu memohon kepada Ali bin Abi Talib, lalu Ali AS memperkenankan mereka masuk ke dalam.

“Tatkala keduanya duduk dekat Fatimah AH, Fatimah AH memalingkan wajahnya ke arah dinding rumah. Salam Abu Bakar dan Umar tidak dijawabnya."

-AL-FIKRUN-
(MUHAMAD NAZRIN RUHANI)

SYIAH ( Antara Kepalsuan Sejarah Dan Penyelewengan Akidah )



SYIAH ( ISLAM )

ANTARA FAKTA DAN KEPALSUAN SEJARAH


Pertama sekali, ingin saya kata disini adalah, melalui pengajian saya, saya memandang bahawa sejarah para sahabat-sahabat Nabi s.a.w adalah cukup hebat. Apabila saya dikejutkan dengan isu Syiah oleh Ustaz saya dan sahabat baik saya yang memegang fahaman Syiah, begitu banyak penyanggahan yang berlaku diantara kami berdua. Namun, saya tidak pernah memutuskan tali persahabatan saya dengannya kerana saya berpegang dengan hadis sahih iaitu “ Hablum MinAllah Wa Hablumminannas ” bermaksud “ Berbuat baik kepada ALLAH Dan berbuat baiklah sesama manusia ”. malah kami bersahabat baik dan paling rapat, Alhamdulillah. Saya yang berfahaman Ahli Sunnah Wal Jammaah kepada 4 mazhab asas dan sahabat saya yang berfahaman Syiah sering berbincang tentang masalah syiah dan menjawab tuduhan Syiah terhadap Mazhab Ahli Sunnah, berdebat merupakan satu kepentingan untuk memperbetulkkan keadaan dan saling menafikan antara satu sama lain. Tetapi ingatlah muslimin dan muslimat, kita saudara sesama islam tidak berhak untuk mengkafirkan antara satu sama lain Cuma sebagai umat islam yang bersaudara, kita hendaklah memperbetulkan apa yang salah dan saling menasihati kerana ini di tegaskan dalam satu hadi, “ Jika seseorang itu melaksanakan solat, puasa, mengeluarkan zakat, dan menunaikan segala perintah Allah, maka jangan-lah kamu mengkafirkannya walaupun dia melakukan kesilapan(bidaah)”.

Penyelewengan Sejarah Abu Bakar as-siddiq r.a
Pemurnian Sejarah Para Sahabat Nabi s.a.w


- Kebanyakan buku-buku tulisan Syiah yang telah saya baaca dan aa yang telah diberikan oleh sahabat, saya mendapati bahawa semuanya menulis tentang keburukan dan pmalsuan sejarah. Mereka mengatakan bahawa Abu Bakar adalah seorang penipu, zindiq, perampas kuasa Ahlul Bait, menafikan hak keluarga Nabi dan sebagainya. Semua adalah yang buruk-buruk belaka tentang Abu Bakar, sedangkan diantara mereka(Syiah) sanggup mengkafirkan dan melaknat Abu Bakar. Ini adalah satu pembohongan sejarah Abu Bakar selepas kewafatan Rasulullah saw yang ditulis oleh penulis-penulis sejarah yang buruk yang sengaja memperburukkan sahabat Nabi saw yang Nabi sendiri jamin beliau dengan syurga diakkhirat kelak.

Keadaan di Balai Bani Saidah


Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w. , para sahabat merasa bimbang berlalunya satu malam tanpa ada pemerintahan, kepimpinan atau khilafah. Orang-orang Islam, Ansar dan Muhajirin, semua mempunyai sikap yang positif. Mereka mengetahui bahawa pemerintahan itu sebahagian daripada Islam dan syariat dan peraturan Allah wajib ditegakkan. Ini tidak dapat disempurnakan melainkan apabila adanya khalifah. Oleh kerana itu, setiap kekuatan masyarakat Islam mesti bergerak bagi menjaga kewujudan negara Islam. Pemerintahan mesti diatur dan ditadbir bagi mengelakkan berlakunya fitnah-fitnah kerana faktor ketiadaan khalifah. Sahabat Ansar mendahului dalam hal ini kerana mereka yang mula-mula mendiami bumi Madinah, sokongan mereka dalam mendirikan negara Islam yang pertama di situ selepas Rasulullah s.a.w. dipilih menjadi rasul.

Yang menyebabkan mereka bertindak demikian bukanlah kerana dorongan sifat assabiah, kepuakan dan ketamakan terhadap pemerintahan atau suka berebut-rebut, tetapi kesungguhan mereka agar kesatuan orang-orang Islam berkekalan bagi memastikan negara Islam yang pertama itu terus berdiri teguh. Bertitik tolak dari sini, mereka memilih seorang yang layak untuk jawatan itu. Di kalangan mereka itu adalah sahabat Rasulullah s.a.w., iaitu Sa’ad bin ‘Ubadah yang merupakan salah seorang naqib ketika peristiwa perjanjian ‘Aqabah yang pertama.

Sesungguhnya yang mendorong mereka bertindak ialah rasa kehambaan kepada Allah. Para sahabat amat khuatir melalui walaupun satu malam tanpa berada di bawah pemerintahan seorang imam selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.. Mereka meninggalkan kain selimut di tempat tidur masing-masing dan berkumpul untuk melantik salah seorang daripada mereka menjadi imam. Ketika itu, kapal tanpa nahkoda, umat tanpa imam sedangkan imamah itu salah satu bahagian daripada Islam dan menegakkannya adalah ketaatan kepada Allah.

Umat Islam sudah terdidik dengan sifat berlumba-lumba dan bersegera ke arah kebaikan.
بادروا بالأعمال الصالحة ‘bersegeralah melakukan amalan-amalan soleh’.

Mereka semua bergerak ke arah matlamat yang sama iaitu menegakkan pemerintahan.

Tegasnya, faktor yang mendorong Ansar keluar ialah perasaan tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh mereka dan yang mendorong Abu Bakar keluar menuju ke Saqifah ialah kesungguhan beliau terhadap kesatuan umat Islam.

Ketika sampai berita kewafatan Rasulullah s.a.w. kepada Abu Bakar, beliau terus pulang ke rumah ‘Aishah di mana Rasulullah s.a.w. diselimuti lalu beliau menyingkap wajah Baginda seraya berkata: "Aku tebus tuan dengan ayah dan ibuku, wahai Rasulullah s.a.w. Tuan berbahagia sungguh, baik masa hidup dan selepas wafat. Demi Allah, Dia tidak menghimpunkan tuan dengan dua kematian. Kematian yang Allah tentukan kepada tuan telahpun tuan rasai." Kemudian Abu Bakar keluar ke masjid, orang ramai ada di situ dan Umar mengeluarkan kata-katanya. Lalu Abu Bakar naik ke mimbar dan memuji Allah dan membesarkan-Nya kemudian berucap: "Wahai manusia, sesiapa yang menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad telah meninggal dunia. Sesiapa yang menyembah Allah sesungguhnya Allah hidup tidak mati.

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَى عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).

(QS Ali ‘Imran: 144)

Kemudian orang ramai keluar dari masjid sambil membaca ayat tersebut di jalan-jalan seolah-olah ayat itu tidak pernah diturunkan kecuali pada hari itu.

Para Ansar berkumpul di Saqifah Bani Sa’idah bermesyuarat dalam keadaan mereka tidak sedari apa yang sedang mereka lakukan. Hal itu sampai kepada pengetahuan Muhajirin lalu mereka berkata: "Kita hantar utusan supaya membawa mereka kepada kami. Abu Bakar berkata: "Bahkan kita akan ke sana. Lalu Muhajirin berjalan ke arah mereka termasuklah Abu Bakar, Umar dan Abu ‘Ubaidah. Lalu mereka saling memberikan ucapan. Sebahagian Ansar berkata: "Di kalangan kami seorang ketua dan di kalangan kamu seorang ketua. Abu Bakar berucap panjang dan tepat, antaranya ialah: "Kamilah pemimpin dan kamulah menteri" Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Pemimpin-pemimpin itu dari kalangan Quraisy." Dan baginda bersabda: "Aku berpesan kepada kamu tentang kedudukan Ansar, supaya kamu menerima orang yang melakukan kebaikan dari kalangan mereka dan memaafkan orang yang melakukan kesilapan dari kalangan mereka. Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menamakan kami الصادقين dan Dia memerintahkan kamu supaya bersama kami di mana saja kami berada, Dia berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ
Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.
(al-Tawbah: 119)

Abu Bakar berucap panjang dengan ucapan yang tepat dan mengemukakan dalil-dalil yang kuat. Para sahabat Ansar menyedari hal itu dan patuh kepada Abu Bakar dan memberi bai’ah kepadanya.

Tindakan Abu Bakar, Umar dan Abu ‘Ubaidah bergegas menuju ke Saqifah Bani Sa’idah adalah dorongan ketaatan kepada Allah, kewajipan yang dipikul oleh mereka yang mesti dilaksanakan. Kewajipan itu ialah melantik seorang imam bagi umat Islam setelah kewafatan Rasulullah s.a.w. terutamanya kebimbangan mereka berlalunya satu malam tanpa ada imamah.

Demikianlah jelas kepada kita perlantikan jawatan khalifah kepada Abu Bakar yang tidak memakan masa melainkan satu pertemuan di Saqifah dan itu berlaku dengan ijmak atau kesepakatan sahabat dan tidak tertumpah walau setitik darah malah tidak berlaku sebarang pergaduhan pun.

Pada hari berikutnya Umar berada di atas mimbar menyampaikan ucapan dan Abu Bakar diam tidak bercakap apa-apa. Umar berkata: "Saya mengharapkan Rasulullah s.a.w. masih lagi hidup kemudian barulah baginda meninggalkan kita. Jika Muhammad telah meninggal dunia, maka Allah telah meletakkan di hadapan kamu cahaya yang menjadi petunjuk kepada kamu, petunjuk Allah itu adalah Muhammad s.a.w. dan Abu Bakar, sahabat baginda dan teman baginda di dalam gua. Sesungguhnya beliau adalah orang yang paling utama berkenaan dengan urusan-urusan kamu. Maka dahulukanlah dan berilah bai’ah kepadanya".

Sekumpulan daripada sahabat telahpun memberi bai’ah sebelum itu ketika di Saqifah. Sementara bai’ah kedua ini bai’ah umum yang dilakukan atas mimbar.

Al-Zuhri meriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa beliau mendengar Umar berkata pada hari itu kepada Abu Bakar: "Naiklah ke atas mimbar, Umar terus meminta Abu Bakar berbuat demikian sehingga Abu Bakar naik lalu orang ramai memberikan sumpah setia mereka kepada Abu Bakar".

Kemudian Abu Bakar berucap lalu beliau memuji–muji Allah dengan sifat-sifat-Nya kemudian berkata: "Wahai manusia, sesungguhnya saya telah diserahkan dengan urusan kamu sedangkan saya bukanlah yang terbaik untuk kamu. Sekiranya saya bertindak baik maka bantulah saya, jika saya tidak betul maka luruskanlah saya. Kebenaran itu amanah, pendustaan itu khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi saya sehingga saya hilangkan puncanya, Insya Allah. Orang yang kuat di kalangan kamu adalah lemah di sisi saya sehinggalah saya mengambil daripadanya hak, Insya Allah. Tidak ada satu kaum yang meninggalkan jihad di jalan Allah melainkan Allah campakkan kehinaan pada mereka. Tidak tersebar kekejian pada satu kaum melainkan Allah mengenakan bala kepada kesemua mereka. Taatilah saya selama mana saya mentaati Allah dan Rasul-Nya, kerana jika saya derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya maka kamu tidak lagi wajib taat kepadaku. Bangunlah menuju kepada sembahyang kamu, semoga Allah merahmati kamu."


Ulasan daripada pengarang dan laman Darul Kautsar

Dalam ucapan Abu Bakar itu terserlah pedoman-pedoman yang menggariskan pergerakan dan hubungan antara pemerintah dan rakyat. Demikian juga tergambar dengan jelas prinsip-prinsip yang menjadi tonggak kepada sistem pemerintahan dalam Islam.

Abu Bakar seorang yang sangat tawadhu’, tidak pernah menganggap dirinya sebagai yang terbaik walaupun pada kenyataannya beliau merupakan sahabat yang paling unggul. Dengan penuh rendah diri, beliau mengharapkan supaya rakyatnya memberikan kerjasama kepada beliau dalam tugas khalifah di samping memperbetulkan kesilapan seandainya ada. Beliau mensyaratkan agar mereka itu benar dan jujur kepada Allah, diri mereka sendiri dan kepada khalifah sebagaimana beliau mesti bersifat demikian. Beliau mensyaratkan supaya keadilan ditegakkan dan diberikan kepada tuannya. Beliau juga mengingatkan dirinya dan umat Islam supaya tidak meninggalkan jihad di jalan Allah, dan sentiasa meneruskan dakwah Rasulullah s.a.w. Ini adalah kerana mereka akan ditimpa kehinaan jika tidak berbuat demikian. Beliau juga mengingatkan supaya menjauhi kemungkaran yang menyebabkan bala bencana menimpa semua orang.

Bukankah kandungan ucapan beliau itu sarat dengan prinsip-prinsip pemerintahan Islam yang berasaskan kepada syura atau pemesyuaratan. Ucapan ini merupakan manifestasi kepada perjanjian atau kontrak antara pemerintah dan rakyat.

Peristiwa yang berlaku pada hari yang bersejarah itu merupakan ijma’ umat Islam yang terdiri daripada sahabat Muhajirin dan Ansar akan penyerahan urusan khalifah itu selayaknya kepada Abu Bakar. Di situlah tergambarnya kesatuan umat dalam pemilihan ketua negara Madinah sepeninggalan Rasulullah s.a.w.

Sebelum itu, Sa’ad bin ‘Ubadah yang mewakili Ansar berucap dengan penuh kesedaran akan tanggungjawab terhadap umat, kata beliau: "Maka kita ini adalah penolong-penolong Allah, tentera-tentera Islam, wahai Muhajirin kamu adalah keluarga nabi kami, sesungguhnya kamu benar-benar telah mendahului, mahu untuk mengambil daripada asal kami dan menghalang kami daripada urusan itu."

Itu adalah puji-pujian kepada Allah dan juga ketakutan kepada-Nya. Ansar tidak pernah membangkitkan asal keturunan mereka dan tidak mengucapkan kata-kata yang mengusir Muhajirin dari Madinah. Malah mereka mengakui kelebihan Muhajirin itu.

-AL-FIKRUN-
(MUHAMAD NAZRIN RUHANI)

Saturday, May 22, 2010

Beza Antara Merebut Nama Allah Dan Mempertahankan Akidah

Banyak pihak mendesak saya memberikan pandangan tentang penggunaan nama Allah oleh agama lain khususnya agama Kristian di Malaysia ini. Pada awalnya, saya selalu mengelak, cuma memberikan pandangan ringkas dengan berkata: “Isu ini bukan isu nas Islam, ianya lebih bersifat pentadbiran atau tempatan.

Peraturan ini mungkin atas alasan-alasan setempat seperti kenapa sekarang baru ditimbulkan isu ini? Kenapa hanya Bible dalam bahasa melayu sahaja yang hendak menggunakan panggilan Allah, tidak pula edisi inggerisnya? Adakah di sana ada agenda tersembunyi? Maka wujudnya tanda soal dan beberapa prasangka yang mungkin ada asasnya. Maka lahirlah kebimbangan terhadap kesan yang bakal timbul dari isu itu nanti.

Namun, akhir-akhir ini saya terus didesak. Saya kata: jika anda hendak tahu pendirian Islam bukanlah dengan falsafah-falsafah tentang akar bahasa itu dan ini yang diutamakan. Rujuk terdahulu apa kata al-Quran dan al-Sunnah. Lepas itu kita bincang hukum berkenaan bertitik tolak dari kedua sumber tersebut.
Kadang-kala kesilapan kita dalam mempertahankan perkara yang tidak begitu penting, boleh melupakan kita kepada isu yang lebih penting. Isu yang terpenting bagi saya adalah kefahaman mengenai keadilan dan kerahmatan Islam yang mesti sampai kepada setiap rakyat negara ini, muslim atau bukan muslim. Supaya gambaran negatif yang salah terhadap Islam dapat dikikis dari minda mereka yang keliru.

Di samping itu, hendaklah kita jelas bahawa yang membezakan akidah Islam dan selainnya bukanlah pada sebutan, atau rebutan nama Allah, sebaliknya pada ketulusan tauhid dan penafian segala unsur syirik. Di samping, kita mesti bertanya diri kita: mengapakah kita sentiasa merasakan kita akan menjadi pihak yang tewas jika orang lain memanggil tuhan Allah? Mengapakah kita tidak merasakan itu akan lebih memudahkan kita menyampaikan kepada mereka tentang akidah Islam?. Maka, apakah isu ini bertitik tolak dari nas-nas Islam, atau kebimbangan disebabkan kelemahan diri umat Islam itu sendiri?

Jika kita membaca Al-Quran, kita dapati ia menceritakan golongan musyrikin yang menentang Nabi Muhammad s.a.w juga menyebut nama Allah dan al-Quran tidak membantah mereka, bahkan itu dijadikan landasan untuk memasukkan akidah Islam yang sebenar.

Firman Allah: (maksudnya) “Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” (Surah al-Zukhruf ayat 87-88).


Firman Allah dalam ayat yang lain: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).


Ayat-ayat ini, bahkan ada beberapa yang lain lagi menunjukkan al-Quran tidak membantahkan golongan bukan muslim menyebut Allah sebagai Pencipta Yang Maha Agung. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w disuruh untuk mengucapkan kesyukuran kerana mereka mengakui Allah. Apa yang dibantah dalam ayat-ayat ini bukanlah sebutan nama Allah yang mereka lafazkan, sebaliknya ketidak tulusan tauhid yang menyebabkan akidah terhadap Allah itu dipesongkan atau bercampur syirik.

Justeru, soal bukan muslim mengakui Allah tidak dibantah oleh Islam, bahkan kita disuruh bersyukur kerana pengakuan itu. Cuma yang dibantah ialah kesyirikan mereka. Umpamanya, jika kita mendengar bukan muslim menyebut “Allah yang menurunkan hujan, atau menumbuhkan tumbuhan”, maka kita tentu gembira kerana dia mengakui kebesaran Allah.

Apakah patut kita kata kepadanya: awak jangan kata Allah yang menurunkan hujan, atau mencipta itu dan ini, awak tidak boleh kata demikian kerana awak bukan muslim, sebaliknya awak kena kata tokong awak yang menurun hujan”. Apakah ini tindakan yang betul? Tidakkah itu menjauhkan dia dari daerah ketuhanan yang sebenar? Kita sepatutnya berusaha mendekatkan dia kepada ajaran yang benar. Namun, jika dia berkata: “Tokong ini adalah Allah”. Saya kata: “Awak dusta, itu tidak benar! Maha suci Allah dari dakwaan awak”.
Maka, ketika Allah menceritakan peranan peperangan dalam mempertahankan keamanan dan kesejahteraan manusia,

Allah menyebut: (maksudnya) “..dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang (pencerobohan) setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam semua tempat itu dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa. (Surah al-Hajj ayat 40).


Ayat ini mengakui tempat-tempat ibadah itu disebut nama Allah. Adapun berhubung dengan orang Kristian

Allah menyebut: (maksudnya) “Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..(Surah al-Maidah ayat 73).


Ayat ini tidak membantah mereka menyebut Allah, tetapi yang dibantah adalah dakwaan bahawa Allah adalah satu dari yang tiga.
Justeru itu kita lihat, orang-orang Kristian Arab memang memakai perkataan Allah dalam Bible mereka, juga buku-buku doa mereka. Tiada siapa pun di kalangan para ulama kaum muslimin sejak dahulu yang membantahnya. Jika ada bantahan di Malaysia, saya fikir ini mungkin atas alasan-alasan setempat yang saya sebutkan pada awal tadi. Cuma yang diharapkan, janganlah bantahan itu akhirnya memandulkan dakwah Islam dan menjadikan orang salah faham terhadap agama suci ini.
Saya selalu bertanya sehingga bilakah kita di Malaysia ini akan begitu defensive, tidak memiliki anti-bodi dan tidak mahu berusaha menguatkannya dalam diri? Akhirnya, kita terus bimbang dan takut kepada setiap yang melintas. Padahal itu bukan sifat Islam. Islam agama yang ke hadapan, misi dan intinya sentiasa disebarkan.

Sehingga Allah menyebut: (maksudnya):“Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang selamat. Demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). (Surah al-Taubah ayat 6).


Ada orang tertentu yang berkata kepada saya: nanti orang Islam keliru kerana sebutan nama Allah itu sama antara mereka dan Islam. Lalu rosak akidah orang Islam kita nanti. Saya berkata kepadanya: “Jikalaulah sebutan nama tuhan itulah yang menentukan akidah Islam, tentulah golongan musyrikin Mekah tidak memerlukan akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Mereka telah sekian lama memanggil tuhan dengan panggilan Allah.
Lihatlah bapa Nabi kita Muhammad bernama ‘Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Tentu sekali bapa baginda lahir pada zaman jahiliah sebelum kemunculan baginda sebagai rasul. Nama itu dipilih oleh datuk Abdul Muttalib yang menjadi pemimpin Quraish pada zaman dahulu. Quraish pada zaman jahiliah juga bertawaf dengan menyebut: LabbaikalLahhumma yang bermaksud: Menyahut seruanMu ya Allah!
Al-Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:
“Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”. Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut. Ternyata mereka menggunakan nama Allah.
Maka yang membezakan akidah Islam dan selainnya adalah tauhid yang tulus yang menentang segala unsur syirik. Ketidak jelasan dalam persoalan inilah yang menggugat akidah jenerasi kita. Mereka yang berakidah dengan akidah Islam sangat sensitif kepada sebarang unsur syirk agar tidak menyentuh akidahnya. Bukan semua yang mengakui Allah akan dianggap beriman dengan iman yang sah selagi dia tidak membersihkan diri dari segala unsur syirik.
Lihat, betapa ramai yang memakai serban dan jubah, berzikir sakan tetapi dalam masa yang sama menyembah kubur-kubur tok wali tertentu dengan cara menyeru dan merintih pemohonan darinya. Ini yang dilakukan oleh sesetengah tarekat yang sesat. Apa beza mereka ini dengan yang memanggil nama-nama berhala yang asalnya dari nama orang-orang saleh juga, yang mati pada zaman dahulu.

Firman Allah: (maksudnya) Ingatlah! Untuk Allah agama yang suci bersih (dari segala rupa syirik). dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung (sambil berkata): “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan Yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik). (Surah al-Zumar ayat 3).


Di Malaysia kita pun ada yang memakai gelaran agama menentang pengajaran tauhid rububiyyah, uluhiyyah, asma dan sifat. Mereka ini menyimpan agenda musuh-musuh dakwah. Padahal pengajaran tauhid yang sedemikianlah yang mampu menjadikan muslim memahami dengan mudah hakikat tauhid. Mampu membezakan antara; sekadar mempercayai kewujudan Allah dengan mentauhidkan Allah dalam zatNya, ibadah kepadaNya dan sifat-sifatNya.
Persoalan tauhid anti syirik ini begitu mudah dan ringkas untuk memahaminya. Nabi s.a.w telah menyebarkannya dengan begitu pantas dan mudah. Seorang badawi buta huruf yang datang berjumpa baginda mampu memahami hanya dalam beberapa sessi ringkas. Bahkan mampu pulang dan mengislamkan seluruh kaumnya dengan akidah yang teguh. Namun, di kalangan kita, pengajaran akidah yang dinamakan ilmu kalam begitu berfalsafah dan menyusahkan.
Bukan sahaja badwi, orang universiti pun susah nak faham. Sehingga seseorang bukan bertambah iman, tetapi bertambah serabut. Bertahun-tahun masih dalam kesamaran. Diajar Allah ada, lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta..lalu ditokok tambah dengan falsafah-falsafah dan konsep-konsep yang menyusahkan. Padahal penganut agama lain juga menyatakan tuhan itu ada, melihat, tidak buta, mendengar, tidak pekak dan seterusnya. Apa bezanya jika sekadar memahami perkara tersebut cuma?
Maka anak-anak orang Islam kita gagal memahami hakikat tauhid anti-syirik yang sebenar. Padahal ianya begitu mudah semudah memahami kalimah-kalimah akidah dalam surah al-Ikhlas yang ringkas. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah…Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka” (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da’iyah, m.s. 92 Beirut: Muassasah al-Risalat). Dahulu kelemahan ini mungkin tidak dirasa, tetapi apabila kita hidup dalam dunia persaingan, kita mula menderitai kesannya.
Jika akidah jenerasi kita jelas, apakah mereka boleh keliru antara ajaran Islam dan Kristian? Adakah mereka tidak tahu beza antara ajaran yang menyebut tuhan bapa, tuhan anak dan ruhul qudus dengan akidah Islam yang anti-syirik, hanya disebabkan adanya sebutan Allah? Begitu jauh sekali perbezaan itu! Bagaimana mungkin sehingga mereka tidak dapat membezakan antara malam dan siang? Apakah juga nanti kita tidak membenarkan pihak lain menyebut nama nabi Ibrahim, Ishak, Ya’kub, Daud dan lain-lain kerana budak-budak kita akan keliru lagi. Akidah apakah yang mereka belajar selama ini di KAFA, JQAF dan berbagai lagi sehingga begitu corot. Kalau begitu, sama ada sukatan itu lemah, atau tenaga pengajarnya perlu dibetulkan.
Maka sebenarnya, isu ini adalah isu kelemahan kita umat Islam dalam memahami akidah yang sebenar. Jenerasi kita tidak mempunyai benteng akidah yang kukuh. Lalu kita semua bimbang mereka keliru dengan akidah orang lain. Untuk mengatasi masalah ini, kita cuba mengambil pendekatan undang-undang. Agar dengan halangan undang-undang, kelemahan akidah generasi kita dapat dipertahankan.
Persoalan yang patut kita fikirkan, sehingga bilakah kita akan mampu terus hidup hanya berbekalkan oksigen dari saluran undang-undang sehingga kita yang majoriti, dengan segala peruntukan yang ada; TV, radio, berbagai-bagai institusi dan agensi yang dilindungi, masih takut kepada gerakan minoriti? Di manakah kehebatan Islam yang selalu kita sebut dan ceritakan sejarah kegemilangannya? Atau sebenarnya, kita tidak memiliki Islam seperti hari ia diturunkan? Maka kempen Islam kita selalu tidak berkesan.
Bagi saya, bukan soal nama Allah itu yang terlalu perlu untuk direbut atau dijadikan agenda besar. Tetapi, gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman.

Dipetik daripada Artikel ( DrMAZA.COM )
Dr. MAZA (Dr. Mohd Asri Zainul Abidin )

Tuesday, March 16, 2010

Salah Faham Terhadap Islam


1. MUKADIMAH


Islam adalah agama yang paling sering disalahtafsirkan, sama ada oleh orang bukan Islam, malah oleh orang Islam sendiri. Hakikat ini diakui oleh pemimpin dan ulama Islam – antaranya Allahyarham Sayyid Maulana Maududi (menerusi bukunya – Understanding Islam) dan bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir.
Ketika berucap di Pusat Pengajian Oxford United Kingdom, Tun Dr. Mahathir berkata, “ Islam mungkin merupakan agama yang paling disalahertikan di dunia hari ini dan mungkin sepanjang sejarah. Islam bukan sahaja disalahertikan oleh orang bukan Islam tetapi juga orang Islam sendiri.”

Realiti ini sebenarnya telah ditegakkan oleh Rasulullah s.a.w. yang pernah menegaskan menerusi sabdanya: “Islam akan ´digelapkan´ oleh orang Islam.” Umat Islam tentunya terpanggil untuk membetulkan keadaan ini. Sesetengah kita dengan mudah berkata, kesalahan umat Islam tidak boleh dijadikan alasan untuk menyalahkan Islam. Namun musuh-musuh Islam tentunya akan membalas, jika benar demikian, maka manakah upaya Islam untuk menjadikan umatnya terbaik? Suara sinis ini bukan sahaja telah dikumandangkan oleh sarjana Barat yang Atheis, tetapi tempiasnya juga turut melanda umat Islam.

2. BENTUK ISLAM YANG TELAH DISALAHFAHAMKAN


Sesetengah golongan menjadi terlalu aggresif dan bertindak secara radikal – hanya Islam dilabel sebagai agama militan, ganas dan fanatik. Sama ada dari segi kefahamannya, mahupun dari segi cara memperjuangkannya, mereka yang radikal ini tidak mengenal erti tolak-ansur dan tasamuh (lapang dada) dalam memperjuangkan cita-cita ´Islam´ mereka.

• Melihat Islam secara sempit

Golongan yang melihat Islam secara sempit ini terbahagi kepada dua golongan:

I. Memandang Islam di sudut ibadah khusus semata-mata. Agama pada kelompok ini dilihat semata-mata sebagai bekalan akhirat untuk mendapat syurga. Agama adalah platform menunggu hari mati dan ia tidak ada kaitannya dengan sistem hidup bertamadun dan berkemajuan. Tindakan ini jelas memisahkan antara dunia dari akhirat. Bagi mereka dunia bukan lagi sebagai ´tanam-tanaman´ yang bernilai untuk memetik hasilnya di akhirat, bahkan dianggap ´bangkai´ yang begitu menjijikkan. Golongan ini menyebabkan Islam jumud, beku dan tidak progresif.

II. Memandang Islam hanya pada aspek maddiah (material). Golongan ini hanya melihat Islam dari sudut pembangunan duniawi (pembangunan ekonomi, teknologi dan ilmu) tetapi meminggirkan atau menyisihkan aspek-aspek prinsip yang berkaitan dengan soal keimanan. Kelompok ini melihat Islam hanya sebagai faktor motivasi untuk membangunkan kecemerlangan duniawi tanpa mengaitkannya dengan soal dosa, syurga dan neraka. Mereka sibuk dalam soal-soal fardhu kifayah tetapi cuai dalam persoalan asas (fardhu Ain). Pada mereka seolah-olah ajaran Islam itu hanya sebagai ´ideologi´ yang diperjuangkan tanpa dikaitkan dengan soal akhirat dan Hari Pembalasan.

III. Memandang Islam hanya sebagai agama warisan yang bersifat adat semata-mata. Golongan ini melihat Islam disudut adat semata-mata. Islam pada mereka bukan suatu cara hidup yang lengkap, malahan dilihat sebagai ritual agama yang berkait soal lahir, kahwin dan mati sahaja.

Pertembungan pelbagai pandangan ini telah menimbulkan kekeliruan dikalangan umat Islam di dalam pelbagai subjek teras – antaranya:

• Kekeliruan dalam memahami konsep kesyumulan ibadah.
• Kekeliruan dalam memahami kesepaduan antara hasanah dunia dan akhirat.
• Kekeliruan tentang makna jihad dan ruang-lingkupnya.
• Kekeliruan dalam menyusun keutamaan amalan-amalan Islam.
• Kekeliruan dalam memahami konsep ilmu – naqal dan aqal.
• Kekeliruan dalam keserasian antara takwa dan ukhuwah.
• Kekeliruan dalam aplikasi Dinullah dan Sunahtullah.
• Kekeliruan tentang hubungan antara pembangunan rohani dan pembangunan material.
• Kekeliruan dalam memahami erti zuhud, tawakal, sabar, redha dan sebagainya.

Ulama Jadi 'Tuhan' & Kenapa Berbeza Pendapat?

Ada yang keliru melihat pelbagai fatwa dan pandangan ulama diberikan dalam stau-satu isu, sama ada isu yang melibatkan cabang aqidah, lebih lagi dalam isu hukum ibadah, muamalat dan sebagainya. Lebih mendukacitakan terdapat yang begitu 'tidak faham' atau sengaja 'buat-buat tidak faham' sehingga ke peringkat menuduh para ulama mencipta hukum halal dan haram menurut nafsu dan kehendak mereka sendiri, puak ini bukan sahaja menuduh dengan tuduhan sedemikian, malah menjustifikasikan tuduhan mereka dengan mengatakan mengatakan ulama ini telah mencabuli hak Allah yang boleh menetapkan hukum.

Kecetekan ilmu khususnya berkenaan Fiqh dan Usul Fiqh serta peranan dan tugas para ilmuan Islam adalah antara punca tuduhan liar sedemikian berlaku. Kejahilan ini menyebabkan ada sebahagian mereka mencerca ilmuan Islam sebagai 'ingin jadi tuhan' kerana mengharamkan sesuatu, khususnya apabila bertentangan dengan kesukaan mereka.

Memang benar, dalam Islam, seorang manusia tidak berhak untuk mengharam dan menghalalkan sesuatu, hanya Allah dan RasulNya yang menentukan. Hakikatnya para ilmuan Islam sama sekali TIDAK boleh mengharam dan menghalalkan sesuatu berdasarkan nafsu dan selera mereka, malah mereka hanya menuruti garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasulnya, melalui kefahaman terhadap ayat-ayat Al-Quran, Hadis Nabi dan segala jenis tafsirnya berdasarkan konteks bahasa, sebab turun, konteks masa dan setempat dan lain-lain.

Selain itu, sebahagian kumpulan manusia yang lain pula keliru dan lebih suka mencela para ilmuan Islam disebabkan perbezaan pandangan mereka dalam sesuatu isu. Mereka dituduh tidak konsisten, mengelirukan dan pelbagai lagi. Lebih buruk, apabila orang awam ini merasakan pandangan mereka yang tidak didasari ilmu itu disangka lebih benar lalu mula mencerca imuan Islam yang tidak disukai mereka atau kesemuanya sekaligus.

Sebenarnya perbezaan ijtihad dalam hal ehwal hukum ini telah wujud sebelum imam-imam mazhab empat lagi, ia sudah pun bermula ketika hayat baginda nabi Muhammad s.a.w lagi. Terlalu banyak sebab dan punca kepada perbezaaan ini dan ia bukanlah sesuatu yang negatif sekiranya dapat difahami asasnya. Ia hanya akan menjadi negatif apabila orang ramai tidak memahaminya, taksub kepada sesuatu pandangan serta tidak pandai mengendalikannya. Di ruangan terhad ini saya ingin memberikan beberapa contoh sebab perbezaan itu berlaku, sejak zaman hayat Rasulullah s.a.w lagi, antaranya :-

SEBAB PERTAMA : ARAHAN NABI YANG BERBEZA UNTUK INDIVIDU TERTENTU


Sebagai contoh dalam isu fiqh ibadah, Imam Muslim meriwayatkan terdapat sahabat yang cacat pengelihatan mengatakan "Aku tidak punyai pemandu untuk ke masjid bagi solat berjemaah, maka berilah aku keizinan untuk menunaikannya di rumah sahaja" lalu baginda Nabi memberikannya izin.



Namun, apabila baginda mengetahui sahabat tersebut menetap berhampiran masjid sehingga boleh mendengar laungan azan, baginda menarik semula keizinannya.( Sohih Muslim, no 1486 )

Walaupun begitu, pernah diriwayatkan Nabi pernah memberi keizinan kepada seorang sahabat yang lain bernama 'Itban bin Malik, tanpa ditarik semula keizinan. ( Sohih Muslim, no 1496).

Kedua-dua arahan mempunyai latarbelakang kisah yang tersendiri. Maka para ulama mempunyai pendirian berbeza dalam menangapi kedua peristiwa ini sehingag memberi kesan kepada ijtihad dan cara mereka meletakkan hukum. Lalu perbezaan pendapat tersebar.

Begitu juga halnya Nabi pernah memberikan izin kepada Abu Bakar as-Siddiq untuk mendermakan keseluruhan hartanya, sedang nabi tidak mengizinkan seorang sahabat lain untuk melakukan hal yang sama. (Riwayat Abu Daud, no 1678 dan no 3319) Kedua-dua kes contoh ini bukan merupakan kes terpencil malah ia berlaku dalam kekerapan yang banyak.

Ia jelas menunjukkan Nabi memberikan arahan dan keputusan berbeza kepada orang yang berbeza. Kebiasaannya ia mempunyai hubung kait dengan latar belakang individu yang bertanya. Atas sebab ini, muncul ulama yang memberikan fatwa berbeza, disebabkan perbezaaan dalam mengambil dalil dan memahami konteksnya.

Jika ingin difahami, sebahagian ulama berpendapat bahawa Nabi membenarkan Abu Bakar as-Siddiq r.a menyedeqahkan keseluruhan hartanya kerana baginda mempunyai keyakinan terhadap keimanan Abu Bakar r.a, di samping yakin Abu Bakar mampu untuk terus istiqamah dengan Islam, tanpa memeinta-minta bantuan dari baginda Rasul, walau dalam keadaan seluruh harta telah disedeqah. Namun keyakinan yang sama tiada bagi individu yang kedua, menyebabkan nabi melarangnya. (The Differences of Imam, Syeikh Zakariyya An-Kandahlawi, White Thread Press, London, 2004, p. 22)

Sama keadaannya dalam kes sahabat bernama Hamza Ibn 'Amr Al-Aslami, beliau sudah terkenal dengan amalan berpuasa banyak. Tatkala beliau ingin bermusafir, beliau bertanya kepada Nabi, baginda menjawab:

Ertinya : "Kamu bebas sama ada untuk berpuasa atau berbuka" ( Al-Bukhari, no 1943)

Sedangkan dalam hadis lain, Nabi pernah menyebut :

Ertinya : " Tiada sebarang kebaikan untuk mengekalkan puasa tatkala dalam perjalan jauh" ( Muslim, no 2612 )

Kita dapat melihat, perbezaan fatwa dan ijtihad pasti wujud disebabkan dua arahan Nabi yang berbeza dalam dua situasi yang juga berbeza. Tentunya, kumpulan sahabat yang mengetahui dan mendengar jawapan Nabi kepada Hamza berbeza dengan kumpulan yang mendengar baginda di ketika melarang. Hasilnya, masing-masing akan membawa dan menyebarkan apa yang didengarinya kepada orang lain dan berterusan. Akhirnya, akan dapat dilihat dua hukum dalam satu isu.

Atas dasar itu, terzahir peranan, keperluan kepada kebijaksanaan dan kajian mendalam oleh para ulama dan ahli fiqh, iaitu bagi menentukan hukum yang lebih tepat bagi situasi yang berada di hadapannya, diwaktunya dan negaranya. Mereka akan menentukan sumber rujukan hadis dan latar di sebalik hadis terbabit, bagi mengeluarkan jawapan hukum yang paling sesuai bagi keadaannya.

SEBAB KEDUA : ARAHAN KHUSUS DILIHAT SEBAGAI ARAHAN UMUM

Terdapat juga ketikanya, Nabi s.a.w memberikan arahan khusus bagi individu tertentu, namun ia didengari oleh sahabat yang lain lalu menganggapnya sebagai arahan umum buat semu lalu menyebarkannya. sebagai contoh : -

Ibn Umar meriwayatkan bahawa nabi bersabda :

Ertinya : Mereka yang mati akan diazab kerana ratapan si hidup ( Al-Bukhari, no 1287 )

Isteri baginda Nabi s.a.w, 'Aisyah r.a menolak kandungan hadis ini dengan berpendapat ia adalah kes khusus untuk seorang wanita Yahudi sahaja. ( Al-Bukhari, no 1289 ) Aisyah juga membawakan ayat Al-Quran yang jelas menolak beban dosa si hidup ditanggung oleh si mati. Ini adalah satu kes yang jelas bagaimana arahan Nabi boleh dianggap oleh sekelompok ulama sebagai khusus, manakala yang lain mengambilnya sebagai umum untuk semua.

Selain itu juga berlaku kes, seorang sahabat nabi yang miskin bernama Sulayk al-Ghartafani, memasuki masjid di ketika khutbah sedang berjalan, Nabi s.a.w mengarahkannya untuk menunaikan solat tahiyyatul masjid dua rakaat terlebih dahulu. (Sohih Muslim, no 2023)

Terdapat ulama yang memahami arahan Nabi itu sebenarnya adalah khusus untuk sahabat miskin ini sahaja, ia adalah kerana Nabi inginkan para sahabat yang lain dapat melihat tahap kemiskinan sahabat tersebut (sewaktu beliau solat), seterusnya tergerak untuk membantunya kelak. Atas keyakinan ini, mazhab Hanafi melarang sesiapa solat tahiyyatul masjid ketika khatib sedang berkhutbah. Fatwa tersebut berbeza dengan beberapa mazhab lain yang menggangap kebenaran tersebut adalah untuk semua umat Islam dan umum bukan khas untuk seorang sahaja.

Para sahabat Nabi yang berada di masjid ketika itu juga mempunyai perspektif berbeza terhadap arahan Nabi itu, lalu ada yang meriwayatkannya tanpa dikhusukan kepada apa-apa kes tertentu manakala ada yang memahami sebaliknya. Hasilnya, perbezaan pendapat dan ijtihad berlaku, sama ada di kalangan sahabat sendiri dan tentunya di zaman selepas itu.

Ibn Qutaybah di dalam kitabnya Ta'wil Mukhtalaf al-Hadis pernah membawakan kata-kata sahabat Imran al-Husayn ertinya :-

"Demi Allah, aku sedar aku boleh meriwayatkan cukup banyak hadis jika aku ingin, namun amalan yang dilakukan oleh kebanyakan sahabat menghalangku dari melakukannya...sepengetahuanku terdapat kekurangan (kurang tepat) dalam sebahagian penyampaian mereka."

Atas dasar ini, Khalifah Umar al-Khattab semasa pemerintahannya, melarang para sahabat meriwayatkan hadis dalam kadar yang terlalu banyak kerana dibimbangi ketidakfahaman mereka serta latar belakang mereka selaku para sahabat yang agak jauh dari Nabi serta kurang pakar dalam bab hukum, lalu boleh menyebabkan kefahaman mereka tersasar dari konteks sebenar lalu menambah kusut dan keliru. Atas sebab itu, kita dapat melihat hanya beberapa orang sahabat sahaja yang banyak meriwayatkan hadis seperti Abu Hurairah, Aisyah sendiri dan beberapa yang lain. Itu pun sekadar sukar untuk melebihi 5,000 hadis. (Tazkiratul Huffadz, Imam Shamsuddin Az-Zahabi, 1/7)



KETIGA : PERBEZAAN KEFAHAMAN DAN PERSEPI


Agak kerap juga berlaku, sesuatu ibadah nabi dilihat oleh ramai sahabat di waktu-waktu yang berlainan. Keadaan ini menghasilkan kefahaman yang berbeza-beza terhadap apa yang perlu dilakukan.

Sebagai contoh, di ketika nabi s.a.w menunaikan Haji, sebahagian sahabat mengatakan nabi melaksanakan Haji Ifrad kerana beliau mendengar nabi menyebut "Labbayka bi hajjatin" ertinya (Aku mempersembahkan diriku untukMu, Wahai Allah untuk melaksanakan haji" (Sunan an-Nasaiae dan Al-Bayhaqi, no 8830)

Ramai ahli hadis mengatakan jalur periwayatan hadis ini adalah sohih, namun begitu sebahagian sahabat lain pula meriwayatkan bahawa nabi melaksanakan Haji Qiran (Rujuk Sohih al-Bukhari, no 1563 ; Muslim no 2995)

Kedua-dua periwayatan ini kelihatan bertembung kerana kedua-dua jenis Haji adalah berlainan antara satu sama lain. Masalah membesar apabila haji Qiran juga boleh dimulakan dengan lafaz yang sama. Di ketika itulah wujudnya peranan ulama Mujtahid sama ada dari kalangan sahabat Nabi atau selepasnya. Mereka bertanggungjawab untuk mengharmonikan nas-nas yang kelihatan bertembung ini dan menjelaskan kekeliruan.

Sa'id Ibn Jubayr seorang ulama besar di kalangan tabien, pernah menegaskan kekeliruan seperti ini kerap berlaku sebagai contoh, ketika nabi berada di Miqat di dhul khulayfa untuk memulakan ihram, baginda menunaikan solat sunat dua rakaat di dalam masjid dan memulakan ihramnya. Maka sebahagian sahabat yang dapat melihat perlakuan nabi itu, kemudiannya ketika Nabi menaiki untanya, dan sewaktu unta ingin bergerak Nabi menyebut "labbayk" , di ketika itu sudah pasti ramai yang berada di sekeliling Nabi dan mendengar baginda melafazkan kalimah itu.

Di sebabkan ramainya sahabat di sekeliling baginda, maka tidak semua dapat mendengar dengan jelas, kemudian, di ketika nabi berada di punca Bayda, sekali lagi baginda melafazkan Labbayk secara kuat. Semua sahabat yang mendengar pada setiap kali nabi mengucapkannya akan mempunyai persepsi yang berbeza dengan yang lain, kerana ada yang mendengar buat pertama kali dan ada yang mendengar buat kali ketiga dan kedua. Keadaan itu adakalanya boleh menyebabkan perbezaan dalam meyimpulkan hukum dan sunnah.

Abdullah ibn Abbas adalah antara yang mendapat gambaran paling jelas tentang tatacara nabi menunaikan haji, beliau dikira sebagai salah seorang ulama mujthad di kalangan sahabat yang perlu diriujuk bagi mendapatkan penjelasan dan panduan yang tepat.

Selepas zaman sahabat, para ulama mujtahid sentiasa mempunyai maklumat yang lebih jelas, namun begitu, ia tidak dapat mengelak dari perbezaan persepsi yang akhirnya membawa kepada kesimpulan hukum yang berbeza.

KEEMPAT : SATU PERKATAAN YANG MEMPUNYAI PELBAGAI MAKSUD

Sudah menjadi kebiasaan dalam apa jua bahasa, satu perkataan boleh sahaja mempunyai dua tiga atau lebih maksud. Sama ada perbezaan itu berdasarkan bahasa rasmi dan persuratan ataupun terpenegaruh oleh dialek setempat.

Dalam hal ini, perkataan wudhu adalah jelas merupakan perbuatan ibadah khusus untuk menunaikan solat dan memegang Al-Quran. Namun begitu, dari sudut bahasanya, wudhu juga membawa maksud membersih dan membasuh tangan dan boleh membawa maskud wudhu pada istilah ibadah.

Imam At-Tirmidzi menyebut dalam kitab beliau Shamail, Seorang sahabat bernama Salman satu hari bertanya kepada Nabi, katanya menurut kitab Taurat, wudhu selepas makan boleh membawa berkat, lalu beliau meminta ulasan dari baginda Nabi. Nabi kemudiannya menjawab :

"Wudhu sebelum dan juga selepas makan adalah sumber keberkatan dalam makanan tersebut" (Shamail, no 186 )

Di dalam hadis yang disebutkan oleh Salman ini, majoriti ulama berpendapat lafaz 'wudhu' yang digunakan merujuk kepada erti asalnya iaitu basuhan tangan dan bukan wudhu pada istilah Fiqh (iaitu basuhan beserta niat bermula dari wajah dan seterusnya).

Demikian juga sebuah dalam situasi yang direkodkan oleh Bazzar, bahawa sahabat nabi Muadz r.a ditanya : Adakah kamu mengambil wudhu selepas menikmati makanan yang dibakar oleh api?? : Beliau menjawab : "Kami hanya membasuh tangan dan mulut sahaja" namun ia dilafazkan sebagai wudhu.

Keadaan ini menyebabkan para ulama mazhab boleh berbeza ijtihad dalam menentukan sama ada perlu berwudhu dalam bentuk ibadah khusus setiap kali selepas menikmati makanan yang dibakar di atas api atau hanya perlu membasuh mulut dan tangan?. Majoriti berpegang kepada erti wudhu secara bahasa iaitu basuhan sahaja, namun terdapat ulama yang berpandangan selainnya.

Bersandarkan kepada sebab-sebab yang dinyatakan di atas dan banyak lagi sebab yang lain, hukum di dalam pelbagai bab dan bidang hukum juga turut terkesan. Lalu muncul pandangan dan ijtihad yang berbeza dari seorang alim kepada yang lain.

Orang ramai tidak perlu merasa pelik dan susah hati dengannya. Apa yang perlu, serahkan urusan kepada mereka yang pakar dan ahli di dalam bidang mereka. Jika orang awam sudah mula berfatwa bersandarkan satu dua hadis atau ayat, dan kemduian merasa diri lebih benar dari kefahaman mendalam dan kajian khusus oleh para ilmuan, itulah tanda kehancuran akan mendatang.

Monday, March 1, 2010

Non-Muslim ( Orang Bukan Islam ) berfikiran sempit.


PENINDASAN SECARA HALUS.

SandHurst,London,United Kingdom, hanya disebabkan Masjid bakal dibina berhampiran dengan Akedemi Tentera SandHurst yang jaraknya hanya 366 meter, pembinaan Masjid itu mendapat bantahan dan dibatalkan. Saya menyatakan disini bahawa inilah pemikiran yang ada didalam kepala otak orang Christian dan Yahudi. Mereka mengatakan bahawa Masjid yang hendak dibina didakwa boleh mencetuskan masalah keselamatan di Akedemi Tentera SandHurst. Mereka telah mengumpulkan 7000 penduduk tempatan untuk mendapatkan tandatangan satu petisyen bagi mengemukakan bantahan pembinaan Masjid.

Pakar keselamatan berkata, Masjid itu boleh menarik kumpulan radikal islam jika pembinaannya diteruskan (dipetik daripada Akhbar News Of The World). Yang peliknya, dulu Majlis Pembandaran Surray sebelum ini meluluskan permohonan Masjid itu yang akan mempunyai sebuah kubah besar dan menara 30 meter. Putera Charles dan Harry menjalani latihan di SandHurst, sementara anggota kanan keluarga diraja sering mengunjungi Akedemi itu. Oleh itu keselamatan mereka ( Putera Charles dan Harry ) mungkin terancam jika masjid itu dibina. Masyarakat islam di kawasan itu menunaikan solat disebuah sekolah lama sejak 14 tahun lalu. Bagaimanapun, Majlis Tempatan mahu merobohkan sekolah itu dan membina Masjid baharu.

Jikalah sekolah lama dimana masyarakat islam dikawasan itu menunaikan solat bakal dirobohkan dan pembatalan pembinaan Masjid baru disitu. Maka dimanakah tempat untuk masyarakat islam disana mahu menunaikan solat. Masjid disana ingin dibina berhampiran Akedemi Tentera, bukan bermaksud islam akan menyerang mereka, bukan bermaksud ingin menceroboh kawasan tentera itu, bukan bermaksud masyarakat islam disana akan menjadi pengganas seperti mereka katakan “terrorist”, bukan bermaksud islam akan mencuri maklumat ketenteraan Negara mereka . Jika semua orang islam dianggap “pengganas”, maka mereka lebih teruk lagi sebagai “penindas”. Maka inilah agenda halus yang sedang mereka rancang untuk memporak-porandakan serta ingin mengkucar-kacirkan orang islam disana, menindas orang islam disana secara halus. Sepatutnya, mereka sebagai Negara yang mengamalkan Demokrasi, berfikiran terbuka untuk apa sahaja perkara temasuklah tentang agama,budaya dan sensitivity sesuatu masyarakat. Bukannya melakukan diskriminasi yang boleh menjejaskan masyarakat dalam melaksanakan sesuatu perkara.

-AL-FIKRUN-
(MUHAMAD NAZRIN RUHANI)

KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD S.A.W

“ Wahai Manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.”

“ Wahai Manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu, kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun, agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah, bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba'. Oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba' dibatalkan mulai sekarang.”

“ Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu, dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.”

“ Wahai Manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu, sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah tehadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia, dan hak kamu atas mereka ialah, mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai, ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.”

“ Wahai Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu, kerjakanlah ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya, kecuali, dalam taqwa dan beramal soleh.”

“ Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.”

“ Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu, Wahai Manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya, aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, itulah Al-Quran dan Sunnahku.”

“ Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-mu kepada hamba-hamba mu.”

-Sahih Bukhari,Muslim, Musnad Ahmad.

-AL-FIKRUN-
(MUHAMAD NAZRIN RUHANI)