Sunday, November 21, 2010

Hubungan Mesra Antara Muawiyah Dengan Ahlul Bait

Saringan oleh www.darulkautsar.net dari artikel asal oleh Maulana Mohd Asri Yusoff


Di antara tuduhan yang dilontarkan kepada Sayyidina Muawiyah r.a ialah kononnya beliau telah melayani Bani Hasyim terutamanya di kalangan Ahlul Bait dengan buruk dan telah bertindak kejam terhadap mereka, selain daripada tidak pernah terjalinnya perhubungan  yang baik di antara mereka dengan Muawiyah dan seterusnya khulafa’ daripada kalangan Bani Umaiyyah.
 
Alasan yang selalu dikemukakan ialah berpunca daripada gambar sejarah yang sememangnya bercampur baur di antara kebenaran dan kebatilan. Sebenarnya kita tidak  hairan dengan riwayat sejarah yang memuatkan cerita-cerita seumpama itu apabila kita memeriksa perawi-perawi (pewarta-pewarta) yang merupakan  sumber cerita-cerita itu.
 
Begitupun jika kita meneliti dengan cermat dan saksama terhadap fakta-fakta yang terdapat di dalam kitab-kitab sejarah samada ditinjau dari sudut riwayat mahupun dirayah dengan cepat akan teserlah di hadapan kita kepalsuan tuduhan-tuduhan itu.  Kenyataan yang dapat disimpulkan daripada fakta-fakta sejarah itu amat bertentangan sekali dengan tuduhan yang terdapat di dalamnya. Ini ialah kerana tak mungkin boleh terjalinnya hubungan persemendaan sebagai menantu, besan, biras dan lain-lain di antara dua keluarga yang bermusuhan begitu sekali seperti yang tersebut di dalam kitab-kitab sejarah. Tidak mungkin juga orang-orang yang bermaruah seperti individu-individu daripada kalangan Ahlul Bait terutama Hasan dan Husain r.a boleh menerima hadiah-hadiah saguhati, cenderamata atau habuan daripada orang yang zalim dan kejam yang sentiasa merendahkan kehormatan mereka.
 
Begitu juga tidak masuk akal jika orang-orang yang terhormat dan mulia seperti Sayyyidina Hasan dan Husain r.a boleh berulang alik ke istana Muawiyah yang dikatakan sebagai penipu dan jahat itu kemudian pulang dengan membawa hadiah-hadiah yang nilainya beratus-ratus ribu dirham, kecuali jika diterima bahawa Sayyidina Hasan dan Husin dan juga Ahlul Bait yang lain sebagai orang-orang yang gila dunia atau mata duitan.
 
Bagaimana mungkin kejam dan zalimnya orang yang Sayyidina Hasan dan Husain turut serta di dalam jihad yang dilancarkannya di samping menyandang pula jawatan-jawatan istimewa dalam kerajaan pimpinannya.
 
Di sini akan dikemukakan beberapa contoh dari fakta sejarah untuk menghapuskan segala tuduhan-tuduhan palsu itu:
 

1) Hubungan baik di antara Sayyidina Muawiyah dan Ahlul Bait terutama Sayyidina Hasan dan Husain r.a.

Ibnu Katsir menulis, >>“Pada zaman pemerintahannya, Sayyidina Muawiyah melayan Sayyidina Hasan dan Husin dengan penuh mesra dan menghadiahkan kepada merekahadiah-hadiah yang berharga. Pernah pada suatu hari beliau menghadiahkan wang sebanyak dua ratus ribu dirham kepada mereka berdua” (Al Bidayah wa An-Nihayah, jilid 8 m.s. 50).

bnu Abil Hadid menulis, “Muawiyah memberikan habuan terutama kepada Hasan dan Husain sebanyak seratus ribu dirham. Anaknya Yazid pula memberikan habuan tahunan kepada merka berdua sebanyak dua ratus ribu dirham. Sebanyak itu juga diberinya kepada Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Ja’afar (ipar Sayyidina Husain iaitu suami kepada Zainab, adiknya)” (Syarah Nahjul Balaghah).
 
Selain daripada habuan tahunan sebanyak seratus ribu dirham itu, Sayyidina Husain dikirimkan bermacam-macam cenderamata dan hadiah-hadiah berharga oleh Muawiyah dan Sayyidina Husain menerimanya dengan gembira sekali.
 
Sayyidina Husain berkunjung ke kediaman Muawiyah seorang diri dan kadang-kadang bersama abangnya Hasan pada tiap-tiap tahun dan Sayyidina Muawiyah melayani mereka dengan baik dan penuh penghormatan. Beliau memberikan kepada mereka bermacam-macam hadiah. Selepas kewafatan Hasan, Sayyidina Husain tetap berkunjung ke kediaman Muawiyah pada tiap-tiap tahun. Beliau dilayani dengan baik dan penuh penghormatan oleh Muawiyah. (Al Bidayah wa An-Nihayah, jilid 8, m.s. 150-151)
 
Pernah pada sutu ketika Sayyidina Hasan telah dihadiahkan oleh Muawiyah wang sebanyak empat juta dan pada ketika yang lain pula Sayyidina Hasan dan Husain telah dihadiahkan dua juta dirham. (Al Bidayah wa An-Nihayah, jilid 8, m.s. 137).
 
Pernah Sayyidina ‘Aqil (abang Sayyidina Ali r.a) memerlukan empat puluh ribu dirham maka beliau pergi menemui Muawiyah dan menyatakan keperluan itu kepadanya. Muawiyah bermurah hati kepadanya dan terus memberikan wang sebanyak lima puluh ribu dirham. (Usdul Ghabah, jilid 3, m.s. 223).
 
Sayyidatina Aisyah r.a pernah dikirimkan oleh Muaiwiyah wang sebanyak seratus ribu dirham dan sebaik sahaja Aisyah menerimanya dia terus membahagi-bahagikannya kepada orang-orang lain (yang memerlukannya) pada hari itu juga.
 
Pada suatu ketika pernah Sayyidatina Aisyah berhutang sebanyak 18 ribu dinar (Muawiyah mendapat tahu tentang itu ) maka beliau pun menjelaskan kesemua hutang Aisyah itu.
 
Pernah juga Muawiyah mengirimkan seutas kalung yang berharga seratus ribu dirham kepada Aisyah. Kiriman itu diterima oleh Aisyah dengan gembira sekali.
 
Pernah Sayyidina Hussain dan  Abdullah Bin Ja’far At Thayyar menghantar utusannya kepada Muawiyah untuk meminta bantuan kewangan daripada beliau, maka wang sebanyak sejuta dirham dikirimkan kepada mereka. Pada ketika yang lain pula Muawiyah mengirimkan wang kepada Sayyidina Hassan, Abdullah Bin Ja’far At Thayyar, Abdullah Bin Umar dan Abdullah Bin Zubair sebanyak seratus ribu dirham.
 Setelah mendapat tahu tentang kewafatan Sayyidina Hassan, Muawiyah pergi menemui Abdullah bin Abbas untuk mengucapkan takziah kepadanya. Muawiyah berkata kepada Abdullah Bin Abbas, “Semoga Allah tidak menyedihkan dan menyusahkann hatimu atas kematian Hassan ini”. Ibnu Abbas lantas menyahut, “Semoga Allah tidak menyedihkan dan menyusahkan hatimu selama Allah memanjangkan umurmu”. (Al Bidayah Wa An Nihayah,jilid 8 m.s. 136 – 138.)


2) Menyandang jawatan istimewa di dalam kerajaan Muawiyah.

Di antara individu dari Bani Hasyim ada yang menyandang jawatan istimewa (seperti qadhi dan lain-lain) didalam pemerintahan Muawiyah.
 
Di Madinah, Marwan Bin Al Hakam adalah gabenor yang dilantik oleh Muawiyah. Ketika itu perlu adanya seorang qadhi (hakim) di Madinah. Oleh itu, Marwan telah melantik Abdullah Bin Al Harith Bin Naufal Bin Al Harith Bin Abdul Muttalib sebagai qadhi di Madinah. Lantaran itu sesetengah golongan mengatakan itulah qadhi yang mula-mula  dilantik di Madinah.
 
Ibnu Sa’ad menulis di dalam Thobaqatnya: daripada Abi Al Ghaits, katanya: “Aku mendengar Abu Hurairah berkata”, “Setelah Marwan Al Hakam dilantik sebagai gabenor bagi pihak Muawiyah di Madinah iaitu pada tahun 42 Hijrah, beliau telah melantik Abdullah bin Al Harith sebagai qadhi di Madinah. Abu Hurairah berkata, “Itulah qadhi yang mula-mula aku lihat dalam Islam (di Madinah)”. Thobaqat Ibnu Sa’ad jilid 5 m.s. 13). Kenyatan yang sama di dalam Tarikh At Thobari, jilid 6 m.s. 12 di bawah tajuk peristiwa yang berlaku pada tahun 42 Hijrah.
 
3) Qustam Bin Abbas r.a dan Sayyidina Hassan r.a ikut serta di dalam jihad yang dilancarkan oleh Muwiyah di zaman pemerintahannya.
Qustam Bin Abbas terbilang di antara sahabat kecil Rasullullah SAW. Beliau adalah saudara sesusu dengan Sayyidina Husin Bin Ali. Beliau telah pergi ke Khurasan di zaman pemerintahan Muawiyah untuk tujuan jihad. Kemudian beliau pergi pula ke Samarkand. Panglima perang yang beliau ikuti di dalam peperangan itu ialah Said Bin Uthman Bin Affan. Akhirnya beliau telah mendapat syuhada (syahid) dalam peperangan di Samarkand.
 
Demikian tersebut didalam Thobaqot Ibnu Sa’ad, jilid 7, m.s. 101, Nasabu quraisyin, m.s. 27, Tahtazikri Auladi Abbas, Siaru ‘Alami An Nubala’, jilid 3 m.s. 292, Syarah Nahjul Balaghah Ibnu Abil Hadid, jilid 5, m.s. 72.
           
Ahli-ahli sejarah menyebutkan dengan jelas bahawa Sayyidina Hussin juga turut serta di dalam jihad yang dilancarkan di zaman pemerintahan Muawiyah. Beliau menyertai jihad itu dengan suka cita dan relahati, bukan dengan paksaan malah telah memberikan pertolongan yang sepenuhnya  dalam jihad itu.
 
Ibn Katsir menulis, “Setelah Sayyidina Hassan wafat, Sayyidina Husain pada tiap-tiap tahun tetap mengunjungi Muawiyah. Beliau dikurniakan dengan hadiah-hadiah dan dimuliakan oleh Muawiyah. Beliau pernah menyertai angkatan tentera yang menyerang Constantinople di bawah pimpinan anak Muawiyah iaitu Yazid pada tahun 51 H”. (Al
Bidayah Wa An Nihayah, jilid 8, m.s. 151). Perkara yang sama termaktub di dalam Tahzibu Tarikhi Ibni Asakir, jilid 4, m.s. 311, Tazkirah Husain bin Ali.

4) Hubungan persemendaan di antara Bani Umaiyyah dan Bani Hasyim

Hubungan persemendaan di antara Bani Hasyim dan Bani Ummaiyah terjalin semenjak sebelum Islam lagi dan berterusan hingga ke zaman-zaman pemerintahan Bani Umayyah. Daripada kenyataan-kenyataan sejarah dapat dilihat betapa mesra dan eratnya hubungan di antara mereka.
 
Permusuhan dan perseteruan di antara mereka tidak lebih daripada cerita-cerita rekaan yang dicipta oleh golongan musuh-musuh Islam dengan tujuan membuktikan kepada dunia bahawa semangat perkauman jahiliyah masih lagi menguasai mereka dan begitu tebal sehingga kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW sendiri masih gagal mencabut sampai ke akar umbinya.
 
Sebaliknya daripada fakta-fakta sejarah yang masih lagi boleh dirujuk dan dianggap muktabar samada daripada kalangan Ahli Sunnah mahupun musuh mereka Syiah, dapat kita temui kenyataan-kenyataan yang menyangkal dan mendustakan cerita-cerita rekaan itu.
 
Tidak mungkin terjadi hubungan persemendaan di antara dua golongan yang bermusuhan dengan begitu banyak sekali dalam keadaan  perseteruan di antara mereka sampai menumpahkan darah dan memaki hamun di antara satu sama lain di dalam khutbah-khutbah Jumaat .
 
Rasulullah SAW sendiri sebagai orang yang paling terkemuka daripada Bani Hasyim telah mengahwinkan tiga orang daripada empat orang anak perempuannya dengan Abul ‘Ash bin Ar-Rabii dan Uthman bin Affan, iaitu dua orang yang ternama dari kalangan Bani Umayyah. (lihat Ansabul Asraaf-Balezuri,jilid 5, ms 1,Thobaqotul Ibn Sa’ad, jilid 8, ms 166, Usdul Al-Ghabah, jilid 5, ms 191, Al-Mustadrak, jilid 3, ms 96, Mumtahar Al Amal, jilid 1 m.s. 9).
 
Aban, anak Sayyidina Uthman kemudiannya berkahwin dengan Ummi Kulthum bt Abdullah bin Ja’far, cucu saudara Sayyidina Ali sendiri. (Al-Ma’arif Ad-Dinawari, m.s. 86).
 
Sakinah, anak perempuan Sayyidina Husain dan cucu kepada Sayyidina Ali adalah isteri kepada cucu Uthman iaitu Zaid bin Amar bin Uthman. Bahkan beliau telah mewarisi Zaid selepas kematiannya. (Nasabu Quraisyin Mus’ab Az- Zubairi, jilid 4, ms 120, Al-Ma’arif-Ibn Qutaibah, m.s.  94, Jamharatu Ansabil Arab,jilid 1, m.s. 86, Thobaqat Ibn Sa’ad, jilid 6, m.s.  349).
 
Cucu Sayyidina Ali iaitu Fatimah anak perempuan Sayyidina Husain merupakan isteri kepada cucu Sayyidina Uthman yang lain bernama Abdullah dan mereka mendapat cahaya mata bernama Muhammad hasil dari  perkahwinan itu. Perkahwinan di antara mereka berdua berlangsung setelah Fatimah menjadi janda kepada Hassan bin Hassan bin Ali. (Lihat Thobaqat Ibn Sa’ad, jilid 8, ms 348, Al-Ma’arif, ms 93, Nasabu Quraisyin, jilid 4, ms 114, Maqaatilu At-Tholibiyyin Al-Isfahani, m.s. 203, Nasikuh At Tawarikh, jilid 6, m.s. 534).
 
Kemudian cucu Sayyidina Hassan iaitu anak Sayyidina Hassan Al-Mutsanna berkahwin pula dengan cucu Marwan bin Aban bin Uthman. Bahkan ahli-ahli sejarah menyebutkan bahawa anak Hassan Al-Mutsanna yang dikenali dengan Ummul Qasim ini telah mendapat cahaya mata hasil perkahwinannya dengan Marwan tersebut, iaitu Muhammad. (Nasabu Quraisyin, jilid 2, m.s. 53, Jamharatu Ansabil Arab, jilid 1, m.s. 85, Al-Muhabbar Al-Baghdadi, m.s. 438).
 
Cucu saudara Sayyidina Ali iaitu Ramlah bt Muhammad bin Ja’far At-Thoyyar bin Abi Thalib mula-mula menjadi isteri kepada Sulaiman bin Hisyam bin Abdul Malik bin Marwan. Kemudian menjadi pula isteri kepada Abul Qasim bin Wahid bin Uthbah bin Abi Sufian (Kitabu Al-Muhabbar, ms 449).
 
Ramlah anak perempuan Sayyidina Ali sendiri telah berkahwin dengan anak  Marwan bin Al-Hakam yang bernama Muawiyah. Sebelum itu Ramlah adalah isteri kepada Abi Al-Hayyaj (Nasabu Quraisyin, ms 45, Jamharatu Ansabil Arab, m.s. 87).
 
Sementara Zainab anak perempuan Hasan Al-Mutsanna pula menjadi isteri kepada Walid bin Abdul Malik bin Marwan Al-Umawi. (Nasabu Quraisyin, ms 52, Jamharatu Ansabil Arab, m.s.  228.
 
Selain daripada cicit kepada Sayyidina Ali, Hafisah bt Zaid bin Al-Hasan bin Ali adalah isteri kepada cucu Marwan iaitu Al-Walid bin Abdul Malik bin Marwan dan wafat sebagai isterinya. Ibunya ialah Lubabah bt Abdullah bin Abbas. (Thobaqat Ibn Sa’ad, jilid 5, ms 234, ‘ Umdatu At-Thalib fi ansabi’ah Abi Thalib, m.s. 70).
 
Hasil perkahwinan Sayyidina Husain dengan Laila bt Abi Muruah bin ‘Urwah bin Mas’ud At-Tsaqafi telah melahirkan Ali yang dikenali dengan Al-Ahbar yang kemudiannya terbunuh syahid bersama beliau di Karbala. Ibu kepada Laila ini ialah Maimunah bt Abu Sufian bin Harb bin Umayyah. Ini bererti Sayyidina Muawiyah adalah bapa saudara kepada Laila, iaitu isteri kepada Sayyidina Husain itu. (Nasabu Quraisyin, ms 57, Tarikh Khalifah bin Khayyat, jilid 1, m.s. 255).
 
Apa yang disebut ini adalah sebahagian daripada hubungan persemendaan di antara Bani Umaiyyah dan Bani Hasyim. Itu pun sudah mencukupi untuk menolak kekeliruan yang telah ditimbulkan. Cerita-cerita yang direka oleh musuh-musuh Islam ini mengatakan bahawa di antara dua keluarga ini telah tertanam permusuhan dan dendam kesumat yang amat mendalam sehingga akhirnya mencetuskan peperangan di antara Ali dan Muawiyah, Husain, Yazid dan seterusnya. Tetapi apabila kita melihat kepada hubungan persemendaan di antara mereka seperti  yang tersebut tadi, jelaslah bahawa cerita-cerita yang memburukkan perhubungan mereka itu tidak berasas sama sekali.
 
5) Ahlil Bait berimamkan pemimipin-pemimpin dari kalangan Bani Umayyah di  dalam sembahyang mereka   
 
Semasa Marwan bin Al-Hakam menjadi gabenor bagi  pihak Muawiyah, beliau mengimamkan sembahyang lima  waktu di masjid. Di antara ahli jamaah yang berimamkan beliau ialah Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husain.
Fakta ini dapat dilihat dengan jelas di dalam riwayat seperti di bawah ini bahkan daripada riwayat ini dapat difahami bahawa Sayyidina Hasan dan Husain tidak mengulangi sembahyang yang telah ditunaikan secara berjamaah di masjid dengan berimamkan Marwan bin Al-Hakam. Muhammad Al-Baqir juga telah bersumpah bahawa mereka berdua tidak mengulangi sembahyang yang ditunaikan secara berjamaah itu sebagai menyangkal dakwaan setengah-setengah kalangan Syiah yang mengatakan mereka berjamaah dengan Marwan secara taqiyyah, kemudian mengulangi sembahyang yang telah dikerjakan itu di rumah pula.
 
Perhatikan riwayat ini :
 
Diriwayatkan daripada Ja’far As-Syadiq daripada ayahnya, katanya, “Hasan bin Ali dan Husain selalu bersembahyang di belakang Marwan.”.  Ja’far berkata, “Kerana itu ayahnya ditanya: “Tidakkah mereka bersembahyang semula setelah pulang ke rumah?”. Beliau menjawab, “Tidak! Demi Allah mereka tidak melebihkan sembahyang daripada sembahyang yang telah dilakukan dengan berimamkan para pemimpin itu”. (Al-Musannaf Ibn Abi Syaibah, jilid 2, m.s. 378, Al-Bidayah Wa An-Nihayah, jilid 8, m.s .258).
 
Imam Bukhari di dalam Tarikh Soghirnya mengemukakan riwayat tentang  selalunya Sayyidina Hasan dan Husain bersembahyang di belakang Marwan dengan berimamkannya. (At-Tarikh As-Soghir, m.s. 57).
 
Ibn Sa’ad pula mengemukakan pengakuan Imam Muhammad Al-Baqir   tentang beliau dan ayahnya, Ali Zainal Abidin sentiasa bersembahyang dengan berimamkan pemimpin-pemimpin daripada kalangan Bani Umaiyyah. Beliau berkata, “Sesungguhnya kami bersembahyang dengan berimamkan mereka tanpa taqiyyah dan aku bersaksi bahawa Ali bin Husain (ayahnya) selalu bersembahyang berimamkan mereka tanpa taqiyyah’. (Thabaqat Ibn Sa’ad, jilid 5, m.s. 158).
 
Kitab-kitab Syi’ah pula menjadi saksi di dalam perkara ini. Di antaranya ialah kitab Biharu Al-Anwar apabila ia mengemukakan riwayat-riwayat yang seerti dengan yang dikemukakan oleh kitab-kitab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Antara lain riwayat itu bermaksud : Daripada Musa bin Jaafar daripada ayahnya, katanya : “Hasan dan Husain  selalu bersembahyang di belakang dengan berimamkan Marwan bin Al Hakam. Maka mereka (Syiah) bertanya beliau, “Adakah datuk dan nenek tuan bersembahyang semula apabila pulang ke rumah?” Beliau menjawab, “Tidak! Demi Allah mereka tidak menambah lagi sembahyang yang telah dikerjakan”. (Biharu Al Anwar, Al Majlisi, jilid 10, m.s .139-141).
 
Selain daripada sembahyang fardhu yang lima itu, pemimpin-pemimpin daripada kalangan Bani Umaiyyah juga mengimamkan sembahyang jenazah  daripada kalangan Ahlul Bait yang telah meninggal dunia. Perkara ini tersebut dengan jelas di dalam kitab-kitab sejarah, antaranya ialah Al-Bidayah Wa An Nihayah, Al Isti’aab, Al Isabah dan Thabaqat Ibn Sa’ad.
 
Sejarah membuktikan bahawa Aban bin Uthman ketika menjadi gabenor di Madinah bagi pihak Abdul Malik bin Marwan pernah diminta menyembahyangkan jenazah Muhammad bin Ali yang terkenal dengan Muhammad bin Al Hanafiah oleh anaknya sendiri iaitu Abu Hasyim Ali. (Thabaqat Ibn Sa’ad, jilid 5, m.s. 86). Selain itu beliau juga pernah menyembahyangkan jenazah anak saudara Sayyidina Ali, iaitu Abdullah bin Jaafar At Thoyar. (Al Isobah, jilid 2, m.s. 281, Al Isti’aab, jilid 2, m.s. 287 dan Usdu Al Ghobah, jilid 3, m.s. 135)
 
Penerimaan baik pemimpin-pemimpin daripada kalangan Bani Umaiyyah oleh pihak Bani Hasyim bukanlah suatu yang baru ketika itu kerana sebelum itu pun ayahanda kepada Aban iaitu Sayyidina Uthman bin Affan telah mengimamkan sembahyang jenazah bapa saudara Rasulullah SAW dan juga bapa saudara kepada Sayyidina Ali iaitu Abbas bin Abdul Mutalib. (Al Bidayah Wa An Nihayah, jilid 2, ms 162, Al Isti’aab, jilid 3, ms 100).
 
Itulah sedikit daripada gambaran hubungan baik di antara Bani Umaiyyah dan Bani Hasyim. Mereka sebenarnya merupakan dahan-dahan dan ranting-ranting daripada pohon yang sama. Mereka telah bekerjasama dan berganding bahu dalam menegakkan dan menyebarkan Islam. Jikalau ada pun permusuhan di antara mereka , itu adalah permusuhan di zaman jahiliyyah tetapi setelah kedatangan Islam, api permusuhan yang bernyala-nyala di zaman jahiliyyah itu terpadam oleh limpahan cahaya Islam yang mencurah-curah yang turun dari Tuhan Semesta Alam.
 
-FIKIR UNTUK ZIKIR-
MUHAMAD NAZRIN RUHANI

Antara Konflik Dan Perdamaian

( Saidina Al-Hassan Bin Ali dan Muawiyah Bin Abu Sufyan )

Masalah Yang Dihadapi Selepas Kematian Saidina Ali Bin Abu Talib


Secara ringkas, pada peringkat awalnya saidina al-Hassan bin Ali telah dilantik oleh umat islam khususnya penduduk Kufah dan Madinah untuk menjadi pemimpin mereka. Selepas beberapa lama saidina al-Hassan menjadi khalifah, timbul pula satu kelompok yang membantah tentang baiat terhadap saidina al-Hassan. Golongan ini dikatakan dari Syam(syria) dimana Muawiyah pernah dilantik menjadi Gabenor disana semasa pemerintahan saidina Ustman bin Affan r.a. dipecat jawatan Gabenor pada zaman Saidina Ali r.a dan digantikan dengan gabenor lantikan Ali iaitu Syahab Bin Hanif. Golongan ini juga dikatakan Pro Muawiyah yang mahukan Muawiyah dilantik sebagai khalifah. Maka golongan ini melakukan pemberontakan kepada kerajaan saidina al-Hassan bin Ali. Akibat pemberontakan yang dilakukan oleh golongan tersebut maka saidina al-Hassan ingin membuat perhitungan dengan Muawiyah , ini kerana saidina al-Hassan tidak mahu berlakunya pertumpahan darah sesama islam yang pernah berlaku pada zaman bapanya Ali, iaitu peperangan Jamal dan Siffin dek kerana pemberontakan sebilangan kecil akhirnya menjadi parah.

(ibid_sejarah islam)


Perkara yang sudah diramal dan diketahui oleh Rasulullah s.a.w

Setelah Muawiyah bin Abu Sufyan mendengar perlantikkan penduduk Kufah terhadap saidina al-Hassan bin Ali, maka Muawiyah menyerang kota Kufah , Saidina al-Hassan berusaha menghadapi serangan Muawiyah tetapi gagal dan mengundurkan diri ke Mada’in berdekatan Madinah. Saidina al-Hassan mengirim surat kepada Muawiyah untuk mengajaknya berdamai.
Maka saidina al-Hassan pun membuat perhitungan dengan Muawiyah. Muawiyah bersetuju dengan cadangan saidina al-Hassan cuma saidina al-Hassan memberikan Muawiyah beberapa syarat yang perlu dipatuhi olehnya iaitu :

Semua harta Baitul Mal di Kufah adalah haknya,saidina al-Hassan (bermaksud dibawah kuasanya).
Kutipan cukai hanya diadakan setahun sekali didaerah dalam negeri Parsi.
Muawiyah tidak menjadikan jawatan khalifah ini sebagai jawatan yang diwarisi secara turun-temurun selepas kematiannya (Muawiyah).

Itulah diantara syarat-syarat saidina al-hassan kepada Muawiyah. Dalam tulisan kitab-kitab lain mempunyai pandangan berlainan dan catatan sejarah tentang syarat-syarat saidina al-Hassan kepada Muawiyah. Maka benarlah ramalan Nabi Muhammad saw dan bertepatan bahawa cucunya, saidina al-Hassan akan mendamaikan persengketaan antara umat islam demi mengelakkan persengketaan dan pertumpahan darah.

Sabda Rasulullah s.a.w :

“ Sesungguhnya, cucuku ini adalah seorang Sayyid (penghulu), yakni yang mulia dan semoga dia mendamaikan persengketaan yang berlaku antara dua kelompok besar muslimin..”
(hadis riwayat Bukhari dari sanad yang sahih)



Perdamaian antara saidina al-Hassan dengan Muawiyah telah berlaku pada tahun 41 Hijrah, dalam sejarah islam, tahun ini dikenali sebagai “ Tahun Perpaduan ”. maka terasaslah kerajaan Bani Umayyah.
( Cuma terkilan difikiran saya, jika benar saidina al-Hassan membuat perjanjian dengan Muawiyah iaitu Muawiyah tiadak akan menjadikan jawatan Khalifah sebagai jawatan yang diwarisi secara turun-temurun, tapi kenapa Kerajaan Umayyah berasaskan keturunan yang bermula daripada Yazid Bin Muawiyah dan seterusnya ? inilah persoalan yang diajukan oleh pihak-pihak Syiah pada hari ini….. persoalan ini insyaAllah akan saya jawab pada artikel seterusnya……. waAllahhu’alam….



- Ibnu Hajar Al-Asqalany, Bulughul Maram
-Smith, W.C, Islam Dalam Sejarah Moden, jil. 1, (terjemahan Abu Salamah), Bharatara, Jakarta 1962.
-Siapa Ahli Sunnah Wal-Jamaah, Berlakunya Fahaman Sesat Dan Penyelewengan Dalam Islam, Umar Hasyim, al-Hidayah Publication, 2008.
-Ibid, 2010.
-Bukti-bukti Sains Dan Sejarah Kerasulan Muhammad, Dr. Danial Zainal Abidin, Edisi Kemas kini, Pts Millenia, 2009.
-Sahih al-Bukhari

Monday, October 25, 2010

PEPERANGAN SIFFIN ( pertumpahan darah sesama Islam )



PEPERANGAN SIFFIN ( pertumpahan darah sesama Islam )
(Siapakah Yang Perlu Bertanggungjawab Diatas Peperangan Ini ?)


Perang Siffin berlaku berikutan peembunuhan keatas khalifah Uthman. Kelambatan khalifah Ali bertindak terhadap mereka yang bersalah telah menimbulkan kemarahan pelbagai golongan. Sebenarnya saidina Ali telah mempunyai strategi untuk menangkap pembunuh khalifah uthman dengan cara nya tersendiri dan beliau sudah pun mengenal ppasti pembunuh Saidina Uthman yang berada serta menyelinap didalam kelompok Syiah. Telah diberitahu siapakah pembunuh Saidina Uthman dan akan diterangkan di bab yang berlainan…
Usia tua khalifah Ali telah memberikan peluang kepada pemberontak melakukan kekacauan.

Setelah kejayaan dalam perang jamal, khalifah Ali telah pergi ke Syam untuk membuat perdamaian dengan muawiyah. Perpecahan umat islam kepada dua golongan ini iaitu golongan yang bersimpati dengan pembunuhan khalifah ustman dan akan menuntut bela diatas kematiannya. Golongan ini dipimpin oleh Muawiyah di syam. Golongan kedua memihak kepada Ali dan mengakui nya sebagai khalifah.

Khalifah Ali menghantar Junir bin Abdullah untuk menemui Muawiyah bagi menyelesaikan persilisihan. Bagaimanapun kata putus tidak diperolehi. Khalifah Ali bergerak ke Nakhilah dan Riqqah, kemudian menyeberangi Sungai Furat dan sampai ke Siffin. Di Siffin inilah berlakunya peperangan saudara kedua dalam islam pada 657 m. khalifah Ali mendapat sokongan dari Iraq dan mewujudkan 50 ribu orang tentera, sedangkan tentera Muawiyah hanya 40 ribu orang sahaja. ( dalam pendapat lain bilangan tentera kedua-dua belah pihak adalah berbeza daripada yang dinyatakan ) .

Tanda kekalahan pihak Muawiyah mula dirasai, Muawiyah menyuruh Amru menyelesaikan masalah ini. Amru mengangkat mashaf Al-Quran sambil berkata, “ Al-Quran menjadi hakim antara kamu dan kami ” . melihat julangan Al-Quran, tentera Ali terpecah kepada dua, kumpulan satu menyokong gencatan senjata dan kumpulan kedua ingin meneruskan peperangan ( dan inilah golongan Syiah yang dipimpin Abdullah Bi Saba’. Maka Ali menerima kehendak pihak Muawiyah demi keamanan.


Anekdot Peperangan Siffin



Syiah Pengkhianat


Tatkala bala tentera Saidina Ali sedang sibuk menguruskan para syuhada yang syahid dalam medan peperangan Siffin, datang segolongan puak-puak bawahan Syiah untuk member khabar kepada Saidina Ali.
Mereka(Syiah) berkata kepada Saidina Ali :

“ Aku memberi khabar gembira kepada engkau wahai Ali, aku telah bunuh Zubair.” (Dengan membawa pedang kepunyaan Zubair Ibn Awwam)


Kata Ali r.a :

“ Pedang ini dahulunya, sentiasa menghilangkan duka-cita diwajah Rasulullah. Tiba-tiba engkau telah bunuh tuan pedang ini.” (Dengan keadaan yang sedih)


Kata Mereka(Syiah) :

“ Kami dipihak engkau wahai Ali, dia menentang engkau.” (Dengan reaksi yang penuh yakin)

Kata Ali r.a :

“ Tetapi aku memberi khabar kepada engkau dengan neraka, kerana aku mendengar Rasulullah berkata, “ Beri khabar kepada pembunuh Zubair dengan neraka.”. ” (Kerana Nabi saw mengetahui bahawa yang membunuh Zubair adalah pengkhianat dalam Islam)
(1). Kitab Jilaul uyun….

Lihat video yang dipaparkan sebelum ini…….

akan disambung.....

-FIKIR UNTUK ZIKIR-
MUHAMAD NAZRIN RUHANI

Thursday, October 21, 2010

PIDATO PERDANA S7 : Peperangan Jamal





Penerangan DR. Muhd Asri Zainal Abidin tentang Peperangan Jamal dan Peperangan Siffin....
sambungan daripada artikel (anekdot peperangan jamal dan penyelewengan sejarah saidina Ali)...

Anekdot Peperangan Jamal

Anekdot Peperangan Jamal

Khalifah Ali mewarisi satu pemerintahan yang kucar-kacir. Beliau tidak mampu untu mengendalikannya sehingga zaman pemerintahan Khalifah ar-Rasyiddin berakhir selepas kematiannya. Khalifaah Ali bersikap tegas, sikapnya itu menyebabkan beliau menganggap kelemahan dalam islam berlaku kerana cara perlantikan gabenor pada zaman khalifah Ustman . khalifah Ali telah memecat gabenor-gabenor pada zaman khalifah Ustman. Di Basrah, Abdullah bin Amir digantikan dengan Usman bin Hanif, Saad bin al-as menggantikan Amran bin Syahab di Kufah dan di Syam, Muawiyah digantikan dengan Syahab Bin Hanif..
Penduduk Kufah tidak dapat menerima kedatangan gabenor baru. Penduduk Syam telah terpengaruh dengan Muawiyah. Di Mesir dan Basrah, penduduknya berbahagi-bahagi sokongan mereka. Ada diantara mereka menyokong gabenor baru, menerima khalifah baru jika khalifah Ali mengambil tindakan tegas keatas peristiwa pembunuhan khalifah Ustman. Manakala golongan ketiga akan menerima gabenor baru jika dia tidak mengganggu kedudukan mereka.
Tambahan pula Khalifah Ali melambat-lambatkan tindakan menghukum pembunuh sebenar khalifah Ustman . dua factor ini dijadikan bahan untuk menentang khalifah Ali , tambahan pula gerakan munafik Abdullah Bin Saba’ telah mempercepatkan lagi pemberontakan . khalifah Ali juga telah mengubah ibukota Islam dari Madinah Ke Kufah atas alasan Madinah tidak selamat untuk diduduki lagi untuk mentadbir Negara..
Tindakan Khalifah Ali menggantikan Muawiyyah dengan Syahab bin Hanif telah menimbulkan penentangan.

Perang Jamal merupakan perang saudara yang pertama dalam islam. Ianya berlaku antara tentera pimpinan Khalifah Ali dan pimpinan bersama antara Talhah ibn Ubaidillah, Zubair ibn Awwam dan turut serta Sayidatina Aisyah ra. Setelah bilangan tentera mencukupi, mereka menuju ke Basrah.. walaupun Aisyah ingin menuntut bela di atas kematian Saidina Ustman tetapi beliau tidaklah berhasrat untuk melibatkan diri dalam peperangan.

Sebelum berlakunya pertempuran, khalifah Ali dan pasukan penentang ini telah mengadakan perbinccangan. Tetapi pasukan khalifah Ali telah menyerang terlebih dahulu khemah saydatina Aisyah ra. Sekumpulan tentera saidina Ali bergerak menuju ke khemah saidatina Aisyah r.a. dikatakan , golongan syiah yang munafiK inilah yang menyerang Aisyah dan Aisyah pula menganggap Ali telah menyerangnya. Maka tercetuslah perang jamal. Serangan inilah dilakukan oleh munafik Abdullah Bin Saba’.

Akhirnya, peperangan ini berakhir dengan kemenangan di pihak Khalifah Ali. Zubir ibn Awwam dibunuh oleh Amru bin Jurmuz. Talhah ibn Ubaidillah pula telah terbunuh selepas sahaja Saidina Ali menyelamatkannya ketika kesibukan peperangan Jamal.

Ketika dalam kesibukan Perang Jamal .

Apabila Ali r.a melihat wajahnya tersembam, Ali turun daripada kudanya dan mengangkatnya serta menyapu pasir dimuka Talhah . Kata Ali r.a, “ Ya Abal Muhammad, amat berat perasaan aku melihat engkau ini dibunuh dibawah bintang-bintang langit, tetapi aku, apa yang dapat aku lakukan, alangkah baik jika 20 tahun yang lalu aku sudahpun meninggal.”kata Ali r.a .

Al-Hassan Bin Ali menasihati Bapanya (Ali r.a)


Saidina Hassan Bin Ali r.a berkata kepada Ayahnya Ali Bin Abu Talib r.a, “ Wahai Ayah, telah aku nasihati mu, supaya engkau jangan menghantar tentera keluar.” Kata Saidina Al-Hassan Bin Ali r.a.

Abdullah Ibn Zubair telah ditetak oleh al-Ashtar namun tetakan ini tidak membawa kematian, beliau kemudiannya tidak lagi mencampuri Peperangan Jamal. Dikatakan Abdullah ibn Zubair, anak Zubair ibn Awwam, diselamatkan oleh Saidina Hassan dan ada juga pendapat, dia diselamatkan bersama saidina Ali dan saidina al-Hassan. Abdullah ibn Zubair dihantar pulang ke madinah bersama-sama Saidatina Aisyah ra dengan selamat. Walaupun Khalifah Ali terpaksa menentang Saydatina Aisyah, ia tetap memuliakannya Saidatina Aisyah setelah dihantar pulang ke madinah.

Ini jelas menunjukkan bahawa hubungan kekeluargaan dan persaudaraan mereka tetap erat dan tidak terjejas kerana saidatina Aisyah merupakan sebahagian daripada Ahli Bait Rasulullah saw dan isteri Nabi saw yang dimuliakan. Perkara ini menjadi bukti dan jelas bahawa dakwaan Syiah itu tentang Saidina Ali bermusuhan dengan Saidatina Aisyah adalah bohong semata-mata dan mereka (syiah) itu hanyalah mahu mengeruhkan keadaan sahaja.


-FIKIR UNTUK ZIKIR-
MUHAMAD NAZRIN RUHANI

PEPERANGAN JAMAL (Bukan Sayyidatina Aisyah Pencetus Peperangan Jamal)

PEPERANGAN JAMAL
(Bukan Sayyidatina Aisyah Pencetus Peperangan Jamal)

Bukan aisyah pencetus peperangan Jamal

Muqaddimah: Rata-rata penulis sejarah Islam meletakkan kesalahan di atas bahu ‘A`ishah dengan menuduhnya sebagai punca berlakunya fitnah perang Jamal yang berakhir dengan kekalahannya kepada tentera Sayyidina ‘Ali. Beliau didakwa mempunyai maksud untuk menjatuhkan Khalifah ‘Ali yang telahpun dibai’ah. Mereka mengaitkan juga dengan kegagalan Sayyidatina ‘A`ishah di dalam peperangan Jamal itu dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sekali-kali tidak akan berjaya golongan yang dipimpin oleh seorang perempuan”. Persoalannya adakah benar begitu pendirian Sayyidatina ‘A`ishah, isteri Rasulullah s.a.w. di dunia dan akhirat, guru kepada sekalian sahabat dan juga ibu kepada orang-orang mu`min? Apakah maksud memimpin orang-orang Islam menemui Sayyidina ‘Ali dan adakah wanita sama sekali tidak boleh menjadi pemimpin?

حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ الْهَيْثَمِ حَدَّثَنَا عَوْفٌ عَنْ الْحَسَنِ عَنْ أَبِي بَكْرَةَ قَالَ لَقَدْ نَفَعَنِي اللَّهُ بِكَلِمَةٍ أَيَّامَ الْجَمَلِ لَمَّا بَلَغَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ فَارِسًا مَلَّكُوا ابْنَةَ كِسْرَى قَالَ لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمْ امْرَأَةً

Diriwayatkan daripada al-Hasan daripada Abu Bakrah katanya: “Allah memberi satu faedah dan pengajaran kepada saya apabila berlaku peperangan Jamal iaitu bila sampai kepada Rasulullah orang-orang Parsi melantik anak perempuan Kisra sebagai raja. Baginda bersabda: “Tidak akan berjaya satu kaum yang melantik perempuan memegang urusan mereka”. (al-Bukhari, no: 7099)

Apa yang disebutkan oleh Abu Bakrah sebenarnya adalah hasil kesimpulannya dan pemahamannya sendiri. Padahal peperangan Jamal tercetus bukan kerana permusuhan dan perebutan kuasa di antara Sayyidatina ‘A`ishah dan Sayyidina ‘Ali tetapi kekeliruan akibat pertempuran yang dirancang di antara dua kumpulan Saba`iyyah (golongan Syiah) yang menyelinap masuk dalam kumpulan ‘A`ishah dan Sayyidina ‘Ali. Kumpulan Saba’iyyah inilah yang bertanggungjawab membunuh Sayyidina Uthman.

Sayyidatina ‘A`ishah, yang mempunyai kedudukan dan berwibawa di kalangan umat Islam, telah didatangi oleh sekumpulan dari mereka supaya mencari jalan supaya tindakan diambil ke atas pembunuh-pembunuh Sayyidina Uthman. Untuk memenuhi permintaan tersebut, beliau bercadang menemui Sayyidina ‘Ali untuk menasihatinya supaya mengambil tindakan ke atas pembunuh Sayyidina Uthman demi mengelakkan fitnah yang lebih besar. Bersama dengan beliau ada dua orang sahabat besar iaitu Talhah dan al-Zubair r.a. Mereka berdua telah pun berbai’ah dengan Sayyidina ‘Ali dan meminta keizinan dari beliau (‘Ali) untuk menyelesaikan masalah darah Khalifah.

Pada masa itu, Sayyidatina ‘A`ishah dalam perjalanan pulang ke Madinah setelah menunaikan haji. Demi untuk menyelesaikan kekusutan tersebut beliau terpaksa berpatah balik ke Mekah.

Tujuan Sayyidatina ‘A`ishah pergi ke Mekah ialah untuk mendamaikan bukan untuk menonjolkan dirinya untuk menjadi khalifah. Fakta sejarah telah diselewengkan dengan mengatakan tujuan kedatangan ‘A`ishah adalah untuk merampas jawatan khalifah. Sedangkan yang sebenarnya, beliau datang adalah untuk kedamaian iaitu untuk menyelesaikan kes pembunuhan Khalifah ‘Uthman.

Golongan munafikin yang membunuh Khalifah ‘Uthman membuat perhitungan iaitu jika Sayyidina ‘Ali dan ‘A`ishah berdamai maka keselamatan mereka akan tergugat dan mereka akan dibunuh. Mereka segera mengatur rancangan dan membuat keputusan bahawa satu kumpulan dari mereka akan berada di pihak ‘A`ishah manakala satu lagi kumpulan akan menyelinap ke dalam kumpulan Sayyidina ‘Ali. Sebelum Sayyidina ‘Ali dan para Sahabat mencapai apa-apa persetujuan, mereka secara senyap telah mencetuskan kekacauan dengan saling menyerang di antara satu sama lain menyebabkan berlaku kekeliruan kepada kedua-dua belah pihak. Orang-orang yang berada di pihak Sayyidatina ‘A`ishah menyangka mereka diserang oleh pihak Sayyidina ‘Ali dan begitu juga sebaliknya.

Keadaan menjadi kelam-kabut dan berselerakan dan terjadilah pertumpahan darah sesama muslimin. Tercapai lah hajat musuh-musuh Islam tersebut.

Semuanya ini berlaku disebabkan oleh perancangan licik pembunuh-pembunuh Khalifah ‘Uthman. Pada hal, kedua-dua pihak Sayyidina Ali dan Sayyidatina ‘Aishah masih lagi berunding untuk menyelesaikan kes pembunuhan Sayyidina Uthman.

Amat malang niat mereka yang datang untuk berdamai dan memulihkan keadaan tetapi muncul pula fitnah yang lain.

Dengan kekuatan tentera yang dimilikinya, Sayyidina ‘Ali berjaya menguasai pasukan Sayyidatina ‘Aishah kerana pada masa itu, pasukan Sayyidatina ‘A`ishah tidak mempunyai kelengkapan yang mencukupi. Ini adalah kerana tujuan kedatangan mereka adalah bukan untuk berperang tetapi untuk mencari jalan perdamaian. Malah amat jauh sekali untuk memberontak dan merebut jawatan khalifah daripada Sayyidina ‘Ali.

Walaupun telah menguasai pertempuran, Sayyidina ‘Ali tetap menunjukkan sikap hormatnya kepada Sayyidatina ‘A`ishah. Beliau menghantar Sayyidatina ‘Aishah pulang ke Madinah dalam keadaan tidak diapa-apakan dan terhormat. Kepada pasukannya, beliau berpesan supaya tidak menjadikan peperangan ini seperti peperangan lain kerana perang ini berlaku sesama sendiri. Harta pihak ‘A`ishah tidak boleh dijadikan sebagai ghanimah. Mereka yang lari tidak boleh dikejar dan yang terbunuh hendaklah disemadikan sebagai seorang Islam(2).

Abu Bakrah yang berpendapat bahawa apa yang berlaku adalah kesilapan ‘A`ishah kerana beliau seorang perempuan dan tidak layak memimpin sesuatu pasukan. Beliau memahami hadis “tidak akan berjaya satu kaum yang melantik perempuan memegang urusan mereka” sebagai berlaku kepada ‘A`ishah. Apa yang difahami oleh Abu Bakrah sebenarnya adalah pendapatnya sendiri dan bukan mewakili pendapat semua sahabat.

Dengan bersandarkan pendapat Abu Bakrah inilah, ada ulama menyimpulkan bahawa wanita tidak boleh menjadi pemimpin baik di peringkat mana pun, sama ada di peringkat rendah, apatah lagi diperingkat tinggi.

Boleh atau tidaknya seorang perempuan menjadi pemimpin adalah merupakan khilaf di kalangan ulama dan kita tidak boleh berhujah dengan hadis ini dengan mengatakan wanita tidak boleh menjadi pemimpin sama sekali. Ini kerana apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. itu mempunyai latar belakang dan sebab yang khusus iaitu merujuk kepada Kisra Parsi yang melantik anak perempuannya sebagai raja.

Sekiranya wanita adalah secara mutlak tidak boleh menjadi pemimpin tentu sekali Sayyidina ‘Umar tidak akan melantik Shifa` binti ‘Abdullah menjadi ketua yang bertanggunjawab terhadap bandar Madinah. Keluarnya Sayyidatina ‘A`ishah menemui ‘Ali dengan tujuan untuk menasihatinya menunjukkan wanita boleh keluar dari rumahnya sekiranya ada keperluan dan dengan maksud yang baik malah dia juga boleh terlibat dengan urusan politik. Sekiranya ‘A`ishah mengetahui dan memahami hadis tersebut iaitu perempuan tidak boleh menjadi pemimpin (seperti yang difahami oleh Abu Bakrah) tentu dari awal lagi beliau tidak akan terlibat dengan urusan negara ini. Ini menunjukkan bahawa ‘A`ishah berpendapat bahawa harus keluar jika mempunyai maksud yang baik .

Cuma apa yang berlaku kepada ‘A`ishah adalah sesuatu yang di luar jangkaannya. Kedatangan beliau dan rombongannya dengan tujuan yang baik dan suasana yang damai telah bertukar menjadi fitnah akibat konspirasi dan perancangan jahat golongan munafikin atau Saba`iyyah. Adalah tidak benar untuk meletakkan kesalahan ini kepada beliau dengan semata-mata beralasan bahawa beliau seorang wanita.

Pada kenyataannya, jatuh bangun sesebuah kerajaan bukan terletak kepada jantina pemerintahnya, tetapi berdasarkan kepada kebijaksanaan, ketelusan dan keadilannya. Sekian banyak negara yang ma’mur dan maju di bawah pemerintahan wanita yang adil dan bijaksana. Sementara itu, berapa banyak kerajaan yang telah hancur walaupun diperintah oleh orang lelaki bilamana pemimpin tersebut lemah dan korup.

Malah ada ulama yang berpendapat wanita boleh menjadi pemimpin di semua peringkat kecuali di peringkat wilayah kubra iaitu kepimpinan tertinggi negara.

Yang menariknya, al-Qur`an merakamkan kisah Baqis yang menjadi raja sebuah negara yang ma’mur dan maju. Kehebatan kerajaannya itu tidak dapat dikalahkan kecuali oleh kerajaan Nabi Sulaiman.

Sifat atau keadaan pendapat Abu Bakrah ini sama seperti pendapat sahabat yang lain di mana mereka mengemukakan pendapat mengikut pemahaman masing-masing. Sebagaimana adanya khilaf di kalangan sahabat dalam masalah-masalah fiqh maka begitu juga dalam masalah ini. Tidak semestinya seseorang itu terikat dengan pendapat salah seorang sahabat.

Riwayat-Riwayat Syi`ah Rafidhah Tentang Peperangan Jamal.

Apabila kita cuba melihat peperangan Jamal, kita dapati Syi`ah Rafidhah telah menutup sepenuhnya hakikat suasana peperangan tersebut kerana dilindungi oleh tutupan yang dibuat oleh mereka. Oleh itu apabila anda memeriksa halaman kitab-kitab sejarah anda hanya mendapati makian, cemuhan, celaan dan fitrah yang suci akan merasa kesal untuk mendengarnya. Namun di sini, penulis akan menyebutkan fakta-fakta yang disebutkan oleh sejarah melalui riwayat-riwayat yang sahih walaupun tidak disukai oleh Syi`ah dan penulis-penulis sejarah yang terpengaruh dengan barat.

Hakikat Pertama

Riwayat-riwayat yang sahih menyebutkan bahawa tujuan sebenar Talhah, al-Zubair dan orang-orang yang bersama mereka keluar ialah untuk membaiki keadaan dan menghapuskan orang-orang yang melakukan kerosakan dengan membunuh Uthman. Mereka tidak keluar untuk kepentingan kuasa atau mana-mana tujuan duniawi bahkan mereka sekali-kali tidak bermaksud untuk memerangi Ali dan orang-orang Islam bersamanya. Hakikat ini telah dikemukakan oleh Ibn Kathir. Beliau menulis: “Sesungguhnya Ali telah mengutuskan al-Qa`qa` sebagi utusan untuk menemui Talhah dan al-Zubair mengajak mereka kepada kesatuan dan jamaah dan menyatakan kepada mereka berdua betapa besarnya perpecahan dan perselisihan. Lalu al-Qa`qa` menuju ke Basrah dan orang yang pertama ditemuinya ialah `Aishah. Beliau berkata: “Wahai Ummu Mukminin, apakah yang mendorong ibu menjejakkan kaki di bumi ini?”. `Aishah menjawab: “Wahai anakku, untuk mendamaikan antara manusia.” Kemudian al-Qa`qa` meminta supaya `Aishah menjemput Talhah dan al-Zubair datang menemui `Aishah lalu mereka berdua tiba. Al-Qa`qa` berkata: “Saya telah bertanya kepada Ummu Mukminin sebab mengapa beliau menjejakkan kaki ke sini dan beliau menjawab untuk mendamaikan antara manusia.” Lalu mereka berdua menyatakan: “Kamipun dengan tujuan yang sama.”

Jelas dari riwayat di atas Aishah, Talhah dan al-Zubair mengatakan bahawa mereka datang hanya untuk mendamaikan antara manusia. Sesungguhnya mereka telah bercakap benar dan Syi`ah telah berdusta. Ini dibuktikan dengan mereka telah berdamai dan Ibn Kathir telah menyebutkan daripada Ali ketika beliau ditanya oleh Abu Salam al-Dala’i: “Adakah mereka itu (Mu`awiyah dan orang-orang bersamanya) mempunyai hujah berkenaan tuntutan mereka terhadap darah ini (darah Uthman) jika mereka benar-benar ikhlas kerana Allah dalam perkara ini? Ali menjawab: “Ya.” Abu Salam bertanya lagi: “Adakah tuan mempunyai hujah mengapa tuan menangguhkannya?” Ali menjawab: “Ya.” Apa yang dikatakan oleh Ali ini merupakan pegangan Ahli Sunnah berkenaan peristiwa yang berlaku sesama sahabat. Ahli sunnah beriktiqad bahawa masing-masing mereka itu mujtahid, jika benar mereka mendapat dua pahala tetapi jika tersilap mereka mendapat satu sahaja.

Hakikat Kedua

Para sahabat telah bersetuju untuk tidak meneruskan perselisihan tersebut dan tidak terlintas kepada mereka kecuali segala-galanya telah berakhir dan tidak ada sebarang peperangan. Namun golongan Saba’iyyah yang melakukan pembunuhan khalifah Uthman tidak berpuas hati lalu mereka mengatur satu pakatan untuk mencetuskan peperangan maka berlakulah peperangan Jamal.

Ini telah dinyatakan oleh Ibn Kathir dan lain-lain bahawa al-Qa`qa` tatkala dihantar oleh Ali untuk menemui Talhah, al-Zubair dan `Aishah dan menawarkan kepada mereka perdamaian. Mereka menjawab: “Anda memang benar dan melakukan yang terbaik. Oleh itu, pulanglah, jika Ali datang dan dia berpandangan seperti anda, keadaan akan menjadi baik.” Lalu al-Qa`qa` pulang menemui Ali dan mencerita apa yang berlaku dan itu benar-benar mengkagumkan Ali. Kemudian Ali menemui orang-orangnya supaya mereka sama-sama berdamai. Lalu mereka yang benci, tetap membenci dan orang yang reda, tetap reda. `Aishah kemudiannya menulis surat kepada kepada Ali menyatakan beliau datang untuk tujuan perdamaian, lalu pihak masing-masing gembira. Kemudian Ali menulis kepada Talhah dan al-Zubair: “Jika pendirian kamu berdua masih seperti ketika al-Qa`qa` meninggalkan kamu berdua, maka tunggulah sehingga kami datang dan membincangkan perkara ini. Lalu mereka berdua menjawab: “Sesungguhnya kami masih lagi berpendirian seperti ketika al-Qa`qa` meninggalkan kami iaitu untuk berdamai.” Hati dan jiwa kedua-dua belah pihak menjadi tenang dan reda lalu mereka berkumpul. Pada waktu petang Ali menghantar Abdullah bin Abbas sebagai wakil dan pihak Talhah menghantar Tulaihah al-Sajjad. Pada malam itu, mereka melalui malam yang paling baik dan indah tetapi pembunuh-pembunuh Uthman melalui malam yang paling buruk bagi mereka dan mereka merancang dan berpakat untuk mencetuskan peperangan pada waktu malam yang akhir. Lalu mereka keluar sebelum fajar menyinsing. Bilangan mereka itu hampir 2,000 orang. Masing-masing menuju kepada yang berdekatan mereka dan melancarkan serangan dengan pedang-pedang. Maka setiap kumpulan bangkit menuju ke pasukan masing-masing untuk menghalang mereka. Orang ramai terjaga dari tidur dan mendapatkan senjata. Mereka berteriak: Ahli Kufah telah mendatangi dan menyerang kami pada waktu malam. Mereka telah menipu kita. Mereka menyangka ini adalah perbuatan orang-orang Ali. Lalu hal ini sampai kepengetahuan Ali dan beliau bertanya: Apa yang telah terjadi kepada orang ramai? Mereka menjawab: Ahli Basrah telah menyerang kami pada waktu malam. Lalu semua kumpulan mendapatkan senjata, memakai baju besi dan menaiki kuda. Tidak siapapun di kalangan mereka yang menyedari perkara sebenar yang terjadi. Dan ketetapan Allah itu suatu ketetapan yang pasti berlaku.


Dipetik Daripada Laman (Darulkautsar.net)
-Terima Kasih Atas Kerjasama Mereka-

-FIKIR UNTUK ZIKIR-
MUHAMAD NAZRIN RUHANI

Friday, October 15, 2010

Penyelewengan Sejarah Saidina Ali Abu Talib


Saidina Ali Karamullahu wajhah ( sepupu yang dikasihi, saudara yang dicintai).


Nama sebenar beliau ialah Ali Bin Abu Talib Bin Abdul Mutalib Bin Hasyim Bin Abdul Manaf. Dilahirkan 10 tahun sebelum Nabi Muhammad saw dilantik menjadi Rasul. Beliau merupakan sepupu dan menantu Rasulullah saw melalui perkahwinannya dengan Fatimah Az-Zahra puteri Rasullullah saw dan Saidina al-Hassan dan Saidina al-Hussien adalah anak beliau yang juga cucu Rasulullah saw yang amat dikasihi. Ali kanak-kanak islam yang pertama memeluk islam. Beliau juga adalah salah seorang diantara penulis-penulis wahyu Allah AzzaWaJalla (Al-Quran) dan penulis perjanjian Hudaibiyah yang pertama. Ali merupakan orang yang menggantikan tempat tidur Nabi Muhammad saw semasa peristiwa hijrah. Ali juga ialah orang dimana umat islam membuat rujukan tentang hukum-hakam kerana Rasulullah saw pernah menyebut dalam hadis sahih riwayat imam Tirmidzi, Rasulullah saw bersabda, “ Aku adalah kota ilmu dan Ali adalah pintunya. Barangsiapa yang menghendaki ilmu, masuklah melalui pintunya.” Ini kerana Ali merupakan orang yang paling hampir dan juga merupakan antara waris keturunan Nabi saw, beliau juga orang yang selalu mendampingi Rasullullah saw selain daripada sahabat Nabi saw yang lain seperti Abu Hurairah r.a, Ibn Abbas, anak angkat Nabi saw ( Zaid Ibn Harithsah ), Saidatina Aisyah r.a dan ramai lagi.


Penyelewengan Sejarah Saidina Ali Abu Talib


Rata-rata penulis/penyeleweng sejarah menyatakan Ali bemusuhan dengan Abu Bakar terutama pihak Syiah. Ini kerana, dikaitkan dengan Hadis Ghadir Khum, yang meletakkan Ali r.a sebagai khalifah selepas kwafatan Rasulullah saw . mereka juga menyatakan Ali dipaksa oleh Umar al-Khatab untuk membai’at Abu Bakar sebagai khalifah. Ditambah pula dengan cerita, Ali r.a dicaci-maki selama lebih 20 tahun dalam khutbah dan dipinggirkan. Perkara ini tidak perlu dinyatakan kerana telah dinyatakan dalam artikel sebelumnya.

Inilah satu pembohongan semata-mata. Kalaulah benar perkara ini berlaku, mengapakah ia tidak tercatat dalam kitab imam-imam terkenal seperti Bukhari, Mislim, Ahmad, Daud atau Ibn Kathir? Memang benar, ketika pelantikan pertama kekhalifahan di Balai Bani Saidah, ada golongan yang ingin melantik Abu Bakar sebagai Khalifah kerana merupakan golongan yang ingin melantik daripada ahli keluarga Nabi saw sebagai khalifah kerana adalah lebih cantik apabila ada waris keturunan Nabi saw menjadi khalifah untuk umat islam. Cuma terlintas didalam fikiran saya, jikalah Nabi saw telah berwasiat dalam khutbah beliau di Ghadir Khum melantik Ali r.a sebagai khalifah selepas kewafatan beliau, mengapakah orang yang mendengar ucapan Nabi saw di Ghadir Khum iaitu Zaid Bin Arqam ( sebagai sanad dan perawi untuk hadis ini tidak membangkitkan isu ini bersama Ali dib alai bani saidah ). Dan sepatutnya Ali bangkit dengan Syiah(pengikut)nya membantah sekerasnya dengan tindakan itu, tetapi tidak ada catatan sejarah tentang kebangkitan Ali dengan Syiah(pengikut)nya. Dan jika Hadis Ghadir Khum itu bertepatan atau bermaksud sebagai khalifah, maka disini kita dapat lihat bahawa Ali bersalah kerana membiarkan umat islam meninggalkan apa yang diperintahkan oleh Nabi saw kepada muslimin terhadap Ali (jika benarlah perkara itu berlaku tetapi saya yakin hadis Ghadir Khum itu memaksudkan Ali sebagai pemimpin umat islam dengan ilmu).
Persoalan ini telah saya jawab dalam Bab (Permurnian Sejarah (Abu Bakar) ) dan Allah swt juga telah menjawab didalam Al-Quran melalui firmannya :

“ Maka rahmat Allah, engkau (wahai Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau (wahai Muhammad) bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka meenjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu, maafkanlah mereka dan mohon keampunan untuk mereka dan bermusyawarah lah deengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakal.”
( Surah Ali Imran:3:159)

Ayat ini menjadi bukti sejarah Islam dimana selepas kewafatan Rasulullah saw, umat islam tetap melantik khalifah daripada kalangan mereka dengan merujuk Al-Quran iaitu mereka bermusyawarah terlebih dahulu di Balai Bani Saidah untuk membulattkan satu keputusan dengan melantik Abu Bakar r.a mengikut factor dan sebab-sebab tertentu dan bertawakal kepada Allah dengan keputusan yang telah mereka tetapkan, sesuai juga dengan khutbah Abu Bakar setelah dilantik menjadi khalifah ( telah saya jawab dan nyatakan dalam bab “keadaan di Saqifah Bani Saidah” ).


-FIKIR UNTUK ZIKIR-
MUHAMAD NAZRIN RUHANI