Tuesday, March 16, 2010

Salah Faham Terhadap Islam


1. MUKADIMAH


Islam adalah agama yang paling sering disalahtafsirkan, sama ada oleh orang bukan Islam, malah oleh orang Islam sendiri. Hakikat ini diakui oleh pemimpin dan ulama Islam – antaranya Allahyarham Sayyid Maulana Maududi (menerusi bukunya – Understanding Islam) dan bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir.
Ketika berucap di Pusat Pengajian Oxford United Kingdom, Tun Dr. Mahathir berkata, “ Islam mungkin merupakan agama yang paling disalahertikan di dunia hari ini dan mungkin sepanjang sejarah. Islam bukan sahaja disalahertikan oleh orang bukan Islam tetapi juga orang Islam sendiri.”

Realiti ini sebenarnya telah ditegakkan oleh Rasulullah s.a.w. yang pernah menegaskan menerusi sabdanya: “Islam akan ´digelapkan´ oleh orang Islam.” Umat Islam tentunya terpanggil untuk membetulkan keadaan ini. Sesetengah kita dengan mudah berkata, kesalahan umat Islam tidak boleh dijadikan alasan untuk menyalahkan Islam. Namun musuh-musuh Islam tentunya akan membalas, jika benar demikian, maka manakah upaya Islam untuk menjadikan umatnya terbaik? Suara sinis ini bukan sahaja telah dikumandangkan oleh sarjana Barat yang Atheis, tetapi tempiasnya juga turut melanda umat Islam.

2. BENTUK ISLAM YANG TELAH DISALAHFAHAMKAN


Sesetengah golongan menjadi terlalu aggresif dan bertindak secara radikal – hanya Islam dilabel sebagai agama militan, ganas dan fanatik. Sama ada dari segi kefahamannya, mahupun dari segi cara memperjuangkannya, mereka yang radikal ini tidak mengenal erti tolak-ansur dan tasamuh (lapang dada) dalam memperjuangkan cita-cita ´Islam´ mereka.

• Melihat Islam secara sempit

Golongan yang melihat Islam secara sempit ini terbahagi kepada dua golongan:

I. Memandang Islam di sudut ibadah khusus semata-mata. Agama pada kelompok ini dilihat semata-mata sebagai bekalan akhirat untuk mendapat syurga. Agama adalah platform menunggu hari mati dan ia tidak ada kaitannya dengan sistem hidup bertamadun dan berkemajuan. Tindakan ini jelas memisahkan antara dunia dari akhirat. Bagi mereka dunia bukan lagi sebagai ´tanam-tanaman´ yang bernilai untuk memetik hasilnya di akhirat, bahkan dianggap ´bangkai´ yang begitu menjijikkan. Golongan ini menyebabkan Islam jumud, beku dan tidak progresif.

II. Memandang Islam hanya pada aspek maddiah (material). Golongan ini hanya melihat Islam dari sudut pembangunan duniawi (pembangunan ekonomi, teknologi dan ilmu) tetapi meminggirkan atau menyisihkan aspek-aspek prinsip yang berkaitan dengan soal keimanan. Kelompok ini melihat Islam hanya sebagai faktor motivasi untuk membangunkan kecemerlangan duniawi tanpa mengaitkannya dengan soal dosa, syurga dan neraka. Mereka sibuk dalam soal-soal fardhu kifayah tetapi cuai dalam persoalan asas (fardhu Ain). Pada mereka seolah-olah ajaran Islam itu hanya sebagai ´ideologi´ yang diperjuangkan tanpa dikaitkan dengan soal akhirat dan Hari Pembalasan.

III. Memandang Islam hanya sebagai agama warisan yang bersifat adat semata-mata. Golongan ini melihat Islam disudut adat semata-mata. Islam pada mereka bukan suatu cara hidup yang lengkap, malahan dilihat sebagai ritual agama yang berkait soal lahir, kahwin dan mati sahaja.

Pertembungan pelbagai pandangan ini telah menimbulkan kekeliruan dikalangan umat Islam di dalam pelbagai subjek teras – antaranya:

• Kekeliruan dalam memahami konsep kesyumulan ibadah.
• Kekeliruan dalam memahami kesepaduan antara hasanah dunia dan akhirat.
• Kekeliruan tentang makna jihad dan ruang-lingkupnya.
• Kekeliruan dalam menyusun keutamaan amalan-amalan Islam.
• Kekeliruan dalam memahami konsep ilmu – naqal dan aqal.
• Kekeliruan dalam keserasian antara takwa dan ukhuwah.
• Kekeliruan dalam aplikasi Dinullah dan Sunahtullah.
• Kekeliruan tentang hubungan antara pembangunan rohani dan pembangunan material.
• Kekeliruan dalam memahami erti zuhud, tawakal, sabar, redha dan sebagainya.

Ulama Jadi 'Tuhan' & Kenapa Berbeza Pendapat?

Ada yang keliru melihat pelbagai fatwa dan pandangan ulama diberikan dalam stau-satu isu, sama ada isu yang melibatkan cabang aqidah, lebih lagi dalam isu hukum ibadah, muamalat dan sebagainya. Lebih mendukacitakan terdapat yang begitu 'tidak faham' atau sengaja 'buat-buat tidak faham' sehingga ke peringkat menuduh para ulama mencipta hukum halal dan haram menurut nafsu dan kehendak mereka sendiri, puak ini bukan sahaja menuduh dengan tuduhan sedemikian, malah menjustifikasikan tuduhan mereka dengan mengatakan mengatakan ulama ini telah mencabuli hak Allah yang boleh menetapkan hukum.

Kecetekan ilmu khususnya berkenaan Fiqh dan Usul Fiqh serta peranan dan tugas para ilmuan Islam adalah antara punca tuduhan liar sedemikian berlaku. Kejahilan ini menyebabkan ada sebahagian mereka mencerca ilmuan Islam sebagai 'ingin jadi tuhan' kerana mengharamkan sesuatu, khususnya apabila bertentangan dengan kesukaan mereka.

Memang benar, dalam Islam, seorang manusia tidak berhak untuk mengharam dan menghalalkan sesuatu, hanya Allah dan RasulNya yang menentukan. Hakikatnya para ilmuan Islam sama sekali TIDAK boleh mengharam dan menghalalkan sesuatu berdasarkan nafsu dan selera mereka, malah mereka hanya menuruti garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasulnya, melalui kefahaman terhadap ayat-ayat Al-Quran, Hadis Nabi dan segala jenis tafsirnya berdasarkan konteks bahasa, sebab turun, konteks masa dan setempat dan lain-lain.

Selain itu, sebahagian kumpulan manusia yang lain pula keliru dan lebih suka mencela para ilmuan Islam disebabkan perbezaan pandangan mereka dalam sesuatu isu. Mereka dituduh tidak konsisten, mengelirukan dan pelbagai lagi. Lebih buruk, apabila orang awam ini merasakan pandangan mereka yang tidak didasari ilmu itu disangka lebih benar lalu mula mencerca imuan Islam yang tidak disukai mereka atau kesemuanya sekaligus.

Sebenarnya perbezaan ijtihad dalam hal ehwal hukum ini telah wujud sebelum imam-imam mazhab empat lagi, ia sudah pun bermula ketika hayat baginda nabi Muhammad s.a.w lagi. Terlalu banyak sebab dan punca kepada perbezaaan ini dan ia bukanlah sesuatu yang negatif sekiranya dapat difahami asasnya. Ia hanya akan menjadi negatif apabila orang ramai tidak memahaminya, taksub kepada sesuatu pandangan serta tidak pandai mengendalikannya. Di ruangan terhad ini saya ingin memberikan beberapa contoh sebab perbezaan itu berlaku, sejak zaman hayat Rasulullah s.a.w lagi, antaranya :-

SEBAB PERTAMA : ARAHAN NABI YANG BERBEZA UNTUK INDIVIDU TERTENTU


Sebagai contoh dalam isu fiqh ibadah, Imam Muslim meriwayatkan terdapat sahabat yang cacat pengelihatan mengatakan "Aku tidak punyai pemandu untuk ke masjid bagi solat berjemaah, maka berilah aku keizinan untuk menunaikannya di rumah sahaja" lalu baginda Nabi memberikannya izin.



Namun, apabila baginda mengetahui sahabat tersebut menetap berhampiran masjid sehingga boleh mendengar laungan azan, baginda menarik semula keizinannya.( Sohih Muslim, no 1486 )

Walaupun begitu, pernah diriwayatkan Nabi pernah memberi keizinan kepada seorang sahabat yang lain bernama 'Itban bin Malik, tanpa ditarik semula keizinan. ( Sohih Muslim, no 1496).

Kedua-dua arahan mempunyai latarbelakang kisah yang tersendiri. Maka para ulama mempunyai pendirian berbeza dalam menangapi kedua peristiwa ini sehingag memberi kesan kepada ijtihad dan cara mereka meletakkan hukum. Lalu perbezaan pendapat tersebar.

Begitu juga halnya Nabi pernah memberikan izin kepada Abu Bakar as-Siddiq untuk mendermakan keseluruhan hartanya, sedang nabi tidak mengizinkan seorang sahabat lain untuk melakukan hal yang sama. (Riwayat Abu Daud, no 1678 dan no 3319) Kedua-dua kes contoh ini bukan merupakan kes terpencil malah ia berlaku dalam kekerapan yang banyak.

Ia jelas menunjukkan Nabi memberikan arahan dan keputusan berbeza kepada orang yang berbeza. Kebiasaannya ia mempunyai hubung kait dengan latar belakang individu yang bertanya. Atas sebab ini, muncul ulama yang memberikan fatwa berbeza, disebabkan perbezaaan dalam mengambil dalil dan memahami konteksnya.

Jika ingin difahami, sebahagian ulama berpendapat bahawa Nabi membenarkan Abu Bakar as-Siddiq r.a menyedeqahkan keseluruhan hartanya kerana baginda mempunyai keyakinan terhadap keimanan Abu Bakar r.a, di samping yakin Abu Bakar mampu untuk terus istiqamah dengan Islam, tanpa memeinta-minta bantuan dari baginda Rasul, walau dalam keadaan seluruh harta telah disedeqah. Namun keyakinan yang sama tiada bagi individu yang kedua, menyebabkan nabi melarangnya. (The Differences of Imam, Syeikh Zakariyya An-Kandahlawi, White Thread Press, London, 2004, p. 22)

Sama keadaannya dalam kes sahabat bernama Hamza Ibn 'Amr Al-Aslami, beliau sudah terkenal dengan amalan berpuasa banyak. Tatkala beliau ingin bermusafir, beliau bertanya kepada Nabi, baginda menjawab:

Ertinya : "Kamu bebas sama ada untuk berpuasa atau berbuka" ( Al-Bukhari, no 1943)

Sedangkan dalam hadis lain, Nabi pernah menyebut :

Ertinya : " Tiada sebarang kebaikan untuk mengekalkan puasa tatkala dalam perjalan jauh" ( Muslim, no 2612 )

Kita dapat melihat, perbezaan fatwa dan ijtihad pasti wujud disebabkan dua arahan Nabi yang berbeza dalam dua situasi yang juga berbeza. Tentunya, kumpulan sahabat yang mengetahui dan mendengar jawapan Nabi kepada Hamza berbeza dengan kumpulan yang mendengar baginda di ketika melarang. Hasilnya, masing-masing akan membawa dan menyebarkan apa yang didengarinya kepada orang lain dan berterusan. Akhirnya, akan dapat dilihat dua hukum dalam satu isu.

Atas dasar itu, terzahir peranan, keperluan kepada kebijaksanaan dan kajian mendalam oleh para ulama dan ahli fiqh, iaitu bagi menentukan hukum yang lebih tepat bagi situasi yang berada di hadapannya, diwaktunya dan negaranya. Mereka akan menentukan sumber rujukan hadis dan latar di sebalik hadis terbabit, bagi mengeluarkan jawapan hukum yang paling sesuai bagi keadaannya.

SEBAB KEDUA : ARAHAN KHUSUS DILIHAT SEBAGAI ARAHAN UMUM

Terdapat juga ketikanya, Nabi s.a.w memberikan arahan khusus bagi individu tertentu, namun ia didengari oleh sahabat yang lain lalu menganggapnya sebagai arahan umum buat semu lalu menyebarkannya. sebagai contoh : -

Ibn Umar meriwayatkan bahawa nabi bersabda :

Ertinya : Mereka yang mati akan diazab kerana ratapan si hidup ( Al-Bukhari, no 1287 )

Isteri baginda Nabi s.a.w, 'Aisyah r.a menolak kandungan hadis ini dengan berpendapat ia adalah kes khusus untuk seorang wanita Yahudi sahaja. ( Al-Bukhari, no 1289 ) Aisyah juga membawakan ayat Al-Quran yang jelas menolak beban dosa si hidup ditanggung oleh si mati. Ini adalah satu kes yang jelas bagaimana arahan Nabi boleh dianggap oleh sekelompok ulama sebagai khusus, manakala yang lain mengambilnya sebagai umum untuk semua.

Selain itu juga berlaku kes, seorang sahabat nabi yang miskin bernama Sulayk al-Ghartafani, memasuki masjid di ketika khutbah sedang berjalan, Nabi s.a.w mengarahkannya untuk menunaikan solat tahiyyatul masjid dua rakaat terlebih dahulu. (Sohih Muslim, no 2023)

Terdapat ulama yang memahami arahan Nabi itu sebenarnya adalah khusus untuk sahabat miskin ini sahaja, ia adalah kerana Nabi inginkan para sahabat yang lain dapat melihat tahap kemiskinan sahabat tersebut (sewaktu beliau solat), seterusnya tergerak untuk membantunya kelak. Atas keyakinan ini, mazhab Hanafi melarang sesiapa solat tahiyyatul masjid ketika khatib sedang berkhutbah. Fatwa tersebut berbeza dengan beberapa mazhab lain yang menggangap kebenaran tersebut adalah untuk semua umat Islam dan umum bukan khas untuk seorang sahaja.

Para sahabat Nabi yang berada di masjid ketika itu juga mempunyai perspektif berbeza terhadap arahan Nabi itu, lalu ada yang meriwayatkannya tanpa dikhusukan kepada apa-apa kes tertentu manakala ada yang memahami sebaliknya. Hasilnya, perbezaan pendapat dan ijtihad berlaku, sama ada di kalangan sahabat sendiri dan tentunya di zaman selepas itu.

Ibn Qutaybah di dalam kitabnya Ta'wil Mukhtalaf al-Hadis pernah membawakan kata-kata sahabat Imran al-Husayn ertinya :-

"Demi Allah, aku sedar aku boleh meriwayatkan cukup banyak hadis jika aku ingin, namun amalan yang dilakukan oleh kebanyakan sahabat menghalangku dari melakukannya...sepengetahuanku terdapat kekurangan (kurang tepat) dalam sebahagian penyampaian mereka."

Atas dasar ini, Khalifah Umar al-Khattab semasa pemerintahannya, melarang para sahabat meriwayatkan hadis dalam kadar yang terlalu banyak kerana dibimbangi ketidakfahaman mereka serta latar belakang mereka selaku para sahabat yang agak jauh dari Nabi serta kurang pakar dalam bab hukum, lalu boleh menyebabkan kefahaman mereka tersasar dari konteks sebenar lalu menambah kusut dan keliru. Atas sebab itu, kita dapat melihat hanya beberapa orang sahabat sahaja yang banyak meriwayatkan hadis seperti Abu Hurairah, Aisyah sendiri dan beberapa yang lain. Itu pun sekadar sukar untuk melebihi 5,000 hadis. (Tazkiratul Huffadz, Imam Shamsuddin Az-Zahabi, 1/7)



KETIGA : PERBEZAAN KEFAHAMAN DAN PERSEPI


Agak kerap juga berlaku, sesuatu ibadah nabi dilihat oleh ramai sahabat di waktu-waktu yang berlainan. Keadaan ini menghasilkan kefahaman yang berbeza-beza terhadap apa yang perlu dilakukan.

Sebagai contoh, di ketika nabi s.a.w menunaikan Haji, sebahagian sahabat mengatakan nabi melaksanakan Haji Ifrad kerana beliau mendengar nabi menyebut "Labbayka bi hajjatin" ertinya (Aku mempersembahkan diriku untukMu, Wahai Allah untuk melaksanakan haji" (Sunan an-Nasaiae dan Al-Bayhaqi, no 8830)

Ramai ahli hadis mengatakan jalur periwayatan hadis ini adalah sohih, namun begitu sebahagian sahabat lain pula meriwayatkan bahawa nabi melaksanakan Haji Qiran (Rujuk Sohih al-Bukhari, no 1563 ; Muslim no 2995)

Kedua-dua periwayatan ini kelihatan bertembung kerana kedua-dua jenis Haji adalah berlainan antara satu sama lain. Masalah membesar apabila haji Qiran juga boleh dimulakan dengan lafaz yang sama. Di ketika itulah wujudnya peranan ulama Mujtahid sama ada dari kalangan sahabat Nabi atau selepasnya. Mereka bertanggungjawab untuk mengharmonikan nas-nas yang kelihatan bertembung ini dan menjelaskan kekeliruan.

Sa'id Ibn Jubayr seorang ulama besar di kalangan tabien, pernah menegaskan kekeliruan seperti ini kerap berlaku sebagai contoh, ketika nabi berada di Miqat di dhul khulayfa untuk memulakan ihram, baginda menunaikan solat sunat dua rakaat di dalam masjid dan memulakan ihramnya. Maka sebahagian sahabat yang dapat melihat perlakuan nabi itu, kemudiannya ketika Nabi menaiki untanya, dan sewaktu unta ingin bergerak Nabi menyebut "labbayk" , di ketika itu sudah pasti ramai yang berada di sekeliling Nabi dan mendengar baginda melafazkan kalimah itu.

Di sebabkan ramainya sahabat di sekeliling baginda, maka tidak semua dapat mendengar dengan jelas, kemudian, di ketika nabi berada di punca Bayda, sekali lagi baginda melafazkan Labbayk secara kuat. Semua sahabat yang mendengar pada setiap kali nabi mengucapkannya akan mempunyai persepsi yang berbeza dengan yang lain, kerana ada yang mendengar buat pertama kali dan ada yang mendengar buat kali ketiga dan kedua. Keadaan itu adakalanya boleh menyebabkan perbezaan dalam meyimpulkan hukum dan sunnah.

Abdullah ibn Abbas adalah antara yang mendapat gambaran paling jelas tentang tatacara nabi menunaikan haji, beliau dikira sebagai salah seorang ulama mujthad di kalangan sahabat yang perlu diriujuk bagi mendapatkan penjelasan dan panduan yang tepat.

Selepas zaman sahabat, para ulama mujtahid sentiasa mempunyai maklumat yang lebih jelas, namun begitu, ia tidak dapat mengelak dari perbezaan persepsi yang akhirnya membawa kepada kesimpulan hukum yang berbeza.

KEEMPAT : SATU PERKATAAN YANG MEMPUNYAI PELBAGAI MAKSUD

Sudah menjadi kebiasaan dalam apa jua bahasa, satu perkataan boleh sahaja mempunyai dua tiga atau lebih maksud. Sama ada perbezaan itu berdasarkan bahasa rasmi dan persuratan ataupun terpenegaruh oleh dialek setempat.

Dalam hal ini, perkataan wudhu adalah jelas merupakan perbuatan ibadah khusus untuk menunaikan solat dan memegang Al-Quran. Namun begitu, dari sudut bahasanya, wudhu juga membawa maksud membersih dan membasuh tangan dan boleh membawa maskud wudhu pada istilah ibadah.

Imam At-Tirmidzi menyebut dalam kitab beliau Shamail, Seorang sahabat bernama Salman satu hari bertanya kepada Nabi, katanya menurut kitab Taurat, wudhu selepas makan boleh membawa berkat, lalu beliau meminta ulasan dari baginda Nabi. Nabi kemudiannya menjawab :

"Wudhu sebelum dan juga selepas makan adalah sumber keberkatan dalam makanan tersebut" (Shamail, no 186 )

Di dalam hadis yang disebutkan oleh Salman ini, majoriti ulama berpendapat lafaz 'wudhu' yang digunakan merujuk kepada erti asalnya iaitu basuhan tangan dan bukan wudhu pada istilah Fiqh (iaitu basuhan beserta niat bermula dari wajah dan seterusnya).

Demikian juga sebuah dalam situasi yang direkodkan oleh Bazzar, bahawa sahabat nabi Muadz r.a ditanya : Adakah kamu mengambil wudhu selepas menikmati makanan yang dibakar oleh api?? : Beliau menjawab : "Kami hanya membasuh tangan dan mulut sahaja" namun ia dilafazkan sebagai wudhu.

Keadaan ini menyebabkan para ulama mazhab boleh berbeza ijtihad dalam menentukan sama ada perlu berwudhu dalam bentuk ibadah khusus setiap kali selepas menikmati makanan yang dibakar di atas api atau hanya perlu membasuh mulut dan tangan?. Majoriti berpegang kepada erti wudhu secara bahasa iaitu basuhan sahaja, namun terdapat ulama yang berpandangan selainnya.

Bersandarkan kepada sebab-sebab yang dinyatakan di atas dan banyak lagi sebab yang lain, hukum di dalam pelbagai bab dan bidang hukum juga turut terkesan. Lalu muncul pandangan dan ijtihad yang berbeza dari seorang alim kepada yang lain.

Orang ramai tidak perlu merasa pelik dan susah hati dengannya. Apa yang perlu, serahkan urusan kepada mereka yang pakar dan ahli di dalam bidang mereka. Jika orang awam sudah mula berfatwa bersandarkan satu dua hadis atau ayat, dan kemduian merasa diri lebih benar dari kefahaman mendalam dan kajian khusus oleh para ilmuan, itulah tanda kehancuran akan mendatang.

Monday, March 1, 2010

Non-Muslim ( Orang Bukan Islam ) berfikiran sempit.


PENINDASAN SECARA HALUS.

SandHurst,London,United Kingdom, hanya disebabkan Masjid bakal dibina berhampiran dengan Akedemi Tentera SandHurst yang jaraknya hanya 366 meter, pembinaan Masjid itu mendapat bantahan dan dibatalkan. Saya menyatakan disini bahawa inilah pemikiran yang ada didalam kepala otak orang Christian dan Yahudi. Mereka mengatakan bahawa Masjid yang hendak dibina didakwa boleh mencetuskan masalah keselamatan di Akedemi Tentera SandHurst. Mereka telah mengumpulkan 7000 penduduk tempatan untuk mendapatkan tandatangan satu petisyen bagi mengemukakan bantahan pembinaan Masjid.

Pakar keselamatan berkata, Masjid itu boleh menarik kumpulan radikal islam jika pembinaannya diteruskan (dipetik daripada Akhbar News Of The World). Yang peliknya, dulu Majlis Pembandaran Surray sebelum ini meluluskan permohonan Masjid itu yang akan mempunyai sebuah kubah besar dan menara 30 meter. Putera Charles dan Harry menjalani latihan di SandHurst, sementara anggota kanan keluarga diraja sering mengunjungi Akedemi itu. Oleh itu keselamatan mereka ( Putera Charles dan Harry ) mungkin terancam jika masjid itu dibina. Masyarakat islam di kawasan itu menunaikan solat disebuah sekolah lama sejak 14 tahun lalu. Bagaimanapun, Majlis Tempatan mahu merobohkan sekolah itu dan membina Masjid baharu.

Jikalah sekolah lama dimana masyarakat islam dikawasan itu menunaikan solat bakal dirobohkan dan pembatalan pembinaan Masjid baru disitu. Maka dimanakah tempat untuk masyarakat islam disana mahu menunaikan solat. Masjid disana ingin dibina berhampiran Akedemi Tentera, bukan bermaksud islam akan menyerang mereka, bukan bermaksud ingin menceroboh kawasan tentera itu, bukan bermaksud masyarakat islam disana akan menjadi pengganas seperti mereka katakan “terrorist”, bukan bermaksud islam akan mencuri maklumat ketenteraan Negara mereka . Jika semua orang islam dianggap “pengganas”, maka mereka lebih teruk lagi sebagai “penindas”. Maka inilah agenda halus yang sedang mereka rancang untuk memporak-porandakan serta ingin mengkucar-kacirkan orang islam disana, menindas orang islam disana secara halus. Sepatutnya, mereka sebagai Negara yang mengamalkan Demokrasi, berfikiran terbuka untuk apa sahaja perkara temasuklah tentang agama,budaya dan sensitivity sesuatu masyarakat. Bukannya melakukan diskriminasi yang boleh menjejaskan masyarakat dalam melaksanakan sesuatu perkara.

-AL-FIKRUN-
(MUHAMAD NAZRIN RUHANI)

KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD S.A.W

“ Wahai Manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.”

“ Wahai Manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu, kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun, agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah, bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba'. Oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba' dibatalkan mulai sekarang.”

“ Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu, dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.”

“ Wahai Manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu, sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah tehadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia, dan hak kamu atas mereka ialah, mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai, ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.”

“ Wahai Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu, kerjakanlah ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya, kecuali, dalam taqwa dan beramal soleh.”

“ Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.”

“ Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu, Wahai Manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya, aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, itulah Al-Quran dan Sunnahku.”

“ Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-mu kepada hamba-hamba mu.”

-Sahih Bukhari,Muslim, Musnad Ahmad.

-AL-FIKRUN-
(MUHAMAD NAZRIN RUHANI)