Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya). (Surah Al-Hujurat : Ayat 15)
Tuesday, March 16, 2010
Salah Faham Terhadap Islam
1. MUKADIMAH
Islam adalah agama yang paling sering disalahtafsirkan, sama ada oleh orang bukan Islam, malah oleh orang Islam sendiri. Hakikat ini diakui oleh pemimpin dan ulama Islam – antaranya Allahyarham Sayyid Maulana Maududi (menerusi bukunya – Understanding Islam) dan bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir.
Ketika berucap di Pusat Pengajian Oxford United Kingdom, Tun Dr. Mahathir berkata, “ Islam mungkin merupakan agama yang paling disalahertikan di dunia hari ini dan mungkin sepanjang sejarah. Islam bukan sahaja disalahertikan oleh orang bukan Islam tetapi juga orang Islam sendiri.”
Realiti ini sebenarnya telah ditegakkan oleh Rasulullah s.a.w. yang pernah menegaskan menerusi sabdanya: “Islam akan ´digelapkan´ oleh orang Islam.” Umat Islam tentunya terpanggil untuk membetulkan keadaan ini. Sesetengah kita dengan mudah berkata, kesalahan umat Islam tidak boleh dijadikan alasan untuk menyalahkan Islam. Namun musuh-musuh Islam tentunya akan membalas, jika benar demikian, maka manakah upaya Islam untuk menjadikan umatnya terbaik? Suara sinis ini bukan sahaja telah dikumandangkan oleh sarjana Barat yang Atheis, tetapi tempiasnya juga turut melanda umat Islam.
2. BENTUK ISLAM YANG TELAH DISALAHFAHAMKAN
Sesetengah golongan menjadi terlalu aggresif dan bertindak secara radikal – hanya Islam dilabel sebagai agama militan, ganas dan fanatik. Sama ada dari segi kefahamannya, mahupun dari segi cara memperjuangkannya, mereka yang radikal ini tidak mengenal erti tolak-ansur dan tasamuh (lapang dada) dalam memperjuangkan cita-cita ´Islam´ mereka.
• Melihat Islam secara sempit
Golongan yang melihat Islam secara sempit ini terbahagi kepada dua golongan:
I. Memandang Islam di sudut ibadah khusus semata-mata. Agama pada kelompok ini dilihat semata-mata sebagai bekalan akhirat untuk mendapat syurga. Agama adalah platform menunggu hari mati dan ia tidak ada kaitannya dengan sistem hidup bertamadun dan berkemajuan. Tindakan ini jelas memisahkan antara dunia dari akhirat. Bagi mereka dunia bukan lagi sebagai ´tanam-tanaman´ yang bernilai untuk memetik hasilnya di akhirat, bahkan dianggap ´bangkai´ yang begitu menjijikkan. Golongan ini menyebabkan Islam jumud, beku dan tidak progresif.
II. Memandang Islam hanya pada aspek maddiah (material). Golongan ini hanya melihat Islam dari sudut pembangunan duniawi (pembangunan ekonomi, teknologi dan ilmu) tetapi meminggirkan atau menyisihkan aspek-aspek prinsip yang berkaitan dengan soal keimanan. Kelompok ini melihat Islam hanya sebagai faktor motivasi untuk membangunkan kecemerlangan duniawi tanpa mengaitkannya dengan soal dosa, syurga dan neraka. Mereka sibuk dalam soal-soal fardhu kifayah tetapi cuai dalam persoalan asas (fardhu Ain). Pada mereka seolah-olah ajaran Islam itu hanya sebagai ´ideologi´ yang diperjuangkan tanpa dikaitkan dengan soal akhirat dan Hari Pembalasan.
III. Memandang Islam hanya sebagai agama warisan yang bersifat adat semata-mata. Golongan ini melihat Islam disudut adat semata-mata. Islam pada mereka bukan suatu cara hidup yang lengkap, malahan dilihat sebagai ritual agama yang berkait soal lahir, kahwin dan mati sahaja.
Pertembungan pelbagai pandangan ini telah menimbulkan kekeliruan dikalangan umat Islam di dalam pelbagai subjek teras – antaranya:
• Kekeliruan dalam memahami konsep kesyumulan ibadah.
• Kekeliruan dalam memahami kesepaduan antara hasanah dunia dan akhirat.
• Kekeliruan tentang makna jihad dan ruang-lingkupnya.
• Kekeliruan dalam menyusun keutamaan amalan-amalan Islam.
• Kekeliruan dalam memahami konsep ilmu – naqal dan aqal.
• Kekeliruan dalam keserasian antara takwa dan ukhuwah.
• Kekeliruan dalam aplikasi Dinullah dan Sunahtullah.
• Kekeliruan tentang hubungan antara pembangunan rohani dan pembangunan material.
• Kekeliruan dalam memahami erti zuhud, tawakal, sabar, redha dan sebagainya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment